Sunday, June 14, 2015

PUISI, CERITA KANAK-KANAK & CERPEN PENDEK ( APN 1132 : BAHASA DALAM PENULISAN KREATIF - EN. MOHD RIDZUAN HARUN )

PUISI

Akhir Zaman

Laluan diliputi pancaroba berbisa
Sinarnya senja menyusurlah dosa
Kala malamnya berhiburlah si noda
Tertawa sang penyawa bergembira

Apa kau lupa wahai pendusta
Di jernihan telaga desa tercinta
Tinggalkan pelita lupakan permata
Kini hiba di jalanan berpesta

Apa kau lupa wahai pendusta
Bisikan syahadah pada Sang Mulia
Genggaman cahaya bertukar bara
Kerana lidah membinasa minda

Bangkitlah mata maralah jiwa
Akar mimpi usianya sengketa
Bangunlah hati hiduplah manusia
Susurlah bahagia di syurga selamanya





KERELAAN MEMAKSA

Seandainya waktu itu seperti buih
Di lautan pun aku tak mahu satu berpecahan
Seandainya rindu terbeku mati dihujani pedih
Biarkan berkurun ku tunggu pengakhiran

Jasamu semalam memujuk paksaan
Memanggil tangisku mengabaikan kenangan
Sungguhpun silam berpuruk dendam ingatan
Terpencil subuhku saksikan malam kerisauan

Kembalilah
Biarlah impian semalam terhenti di jalan
Sedikit kenangan mimpi pun, datanglah
Sahabatmu mendoakan jangan di persiakan

















MENANTI MENTARI

Menari di lebaran duri bernadakan caci
Itulah taman kediaman tempatku bernyanyi
Berjalan di gerimis api dibawahan terik mentari
Di tirai sana ternyata hujannya air. Bukan petir
Di langit luar awannya bersinar. Disini menangis

Apa pantaskah hati berduka disebabkan bernyawa
Apakah selayaknya hiba barulah gembira
Apa asal saja manusia pasti disaluti sengsara
Kepedihan sakit ini bukan mimpi di senja hari

Ya Robbi
Dengarkan keluhan hati bernada sepi
Biarkan jiwa yang mati ini kembali bernyanyi
Seketika cuma hambaMu berdiri
Menantikan mati ingin dirahmati

 

 

 

 

 

 

CERITA KANAK-KANAK

 

BOBO SAYANG NENEK


Dahulu, ada seorang nenek tua yang tinggal di dalam hutan. Setiap hari nenek tua tersebut akan tidur dan makan di atas gerai yang ada di bawah sebuah pokok besar. Dahulu, nenek ini sangat ceria bergelak ketawa namun kehidupan nenek berasa sunyi disebabkan anaknya sudah meninggal dunia. Sambil berjalan mencari makanan, nenek menangis kesedihan dan tiba-tiba berjumpa pintu gua yang bercahaya.

Sambil ketakutan melihat cahaya yang keluar dari gua tersebut, nenek perlahan-lahan melangkah kaki. Nenek terkejut apabila mendengar suatu suara misteri yang amat kuat berkata "Hai perempuan tua.. silakanlah datang bersamaku". Oleh kerana nenek berasa tiada jalan lain lagi, nenek terus masuk ke dalam gua tersebut walaupun takut.

Tiba-tiba, muncul cahaya yang bersinar di hadapannya. Badan nenek menggeletar ketakutan. Seorang lelaki yang sedang memimpin budak perempuan muncul dihadapannya. Lantas nenek berkata kepada lelaki tersebut "Siapakah kamu ini? Jangan cederakan saya. Saya bukan orang jahat". Lelaki tersebut segera menjawab "Jangan takut wahai nenek.. Namaku Pak Adam. Ini anakku, Bobo".

Bobo tidak biasa dan takut untuk mendekati nenek tua tadi. Melihat nenek tua kelaparan, Pak Adam menghulurkan bakul yang berisi buah-buahan lantas dimakan nenek tersebut dengan suka hati. Nenek sangat terharu berterima kasih kepada mereka berdua kerana memberi makanan kepadanya. Setelah kenyang, nenek mahu berangkat pulang ke pokok yang selalu dia berteduh. Bobo kemudian berlari menuju ke arah nenek lalu memeluk nenek.

"Kenapa ye nak?" nenek bertanya. "Bobo nak nenek. Bobo sayang nenek" jawab Bobo. Sebenarnya dahulu nenek ada seorang ibu yang sangat baik tetapi meninggal dunia digigit ular berbisa di dalam hutan tersebut. Dengan rasa serba salah selepas dipelawa Pak Adam, nenek tersebut tinggal bersama mereka di dalam gua. Mereka sangat gembira. Mereka bergurau senda di dalam taman yang sungguh cantik dihiasi dengan bunga-bunga dan burung yang berkicauan. Ada arnab, burung merpati, kucing dan rusa. Bunga-bunga di dalam taman tersebut berwarna-warni dan sangat indah berbau harum.

Setiap hari Bobo dibuaikan oleh nenek sambil dinyanyikan lagu sebelum tidur. Mereka berdua bahagia makan dan tidur bersama. Setiap petang mereka belajar melukis di dinding gua. Bobo semakin besar dan pandai memetik buah di sekitar tempat tinggal mereka. Pak Adam bekerja kuat untuk menyara kehidupannya. Selalu saja Bobo bermimpikan nenek menyanyikan lagu untuknya. Begitulah kehidupan mereka seterusnya. Apa sahaja yang ingin dilakukan, pasti nenek akan menemani dan membantu Bobo.

Suatu malam hujan turun sangat lebat. Petir sambar menyambar di dinding gua mereka duduki. Nenek pula batuk-batuk berterusan lalu jatuh sakit yang aneh. Walaupun hujan belum berhenti, mereka tetap keluar mencari mencari herba dan daun-daun untuk mengubati sakit nenek. Mereka suapkan ubat untuk nenek tetapi nenek termuntah dan tidak larat lagi. Bobo menangis dan hatinya mulai gelisah dan sedih melihat wajah nenek kesakitan. Kegembiraan yang dilaluinya bersama nenek kini tidak seperti hari-hari yang lain lagi. Pagi itu, Bobo bangun tidur lewat disebabkan  nenek tidak bangun kejutkan dan masak untuknya. Rupa-rupanya tubuh nenek tidak bergerak. Ternyata nenek telah meninggal dunia di atas katil tempat tidurnya semasa tidur.


Bobo mahu larikan diri tetapi ayahnya cepat-cepat memeluk Bobo. Sebelum nenek meninggal, Sambil menangis di taman tempat bermain yang selalu ditemani nenek, Bobo tertidur di atas buaian. Ketika tidur, Bobo bermimpi nenek hadir memeluk lantas datang berpesan kepadanya. Dalam mimpi itu nenek berkata, "Setiap yang hidup pasti akan mati termasuk ayah, ibu, kawan-kawan dan nenek juga. Oleh itu, Bobo mesti kuat. Bobo juga akan besar dan semakin hari semakin tua. Jadi, Bobo kena sayang semua orang yang ada di samping kita ya. ".

Selepas peristiwa itu, Bobo tidak lagi bersedih. Bobo sudah mengerti bahawa kehidupan di dunia perlulah menghargai semua orang yang ada di sekeliling. Kini usia Bobo semakin meningkat dan ayahnya juga semakin tua.  Bobo menjaga ayahnya dengan baik. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut ayahnya, Bobo tidak pernah mengingkarinya. Ketika ayahnya demam, Bobo selalu urutkan kepala ayahnya supaya cepat sembuh. Walaupun sudah besar, Bobo masih suka melukis gambar ayah dan arwah ibu serta neneknya di dinding tempat tinggal. Bobo janji, apabila besar nanti Bobo mahu jadi manusia yang berjaya dan baik dengan semua orang.

PENGAJARAN

1)         Hargailah orang yang ada di sekeliling kita selagi mereka masih hidup terutamanya ibu bapa kerana mereka menjaga kita sejak kecil sehingga dewasa.
2)         Kehidupan di dunia ini cuma sementara. Jadi, usah bersedih dengan ujian dan pemergian orang yang disayangi kerana setiap manusia akan menemui mati.
3)         Ketentuan Allah adalah aturan yang terbaik untuk manusia. Percayalah bahawa setiap kebaikan dibalas dengan kebaikan jua.








CERPEN PENDEK

KERANA ITU TAKDIRNYA HIDUP

“Kau bukannya tak tahu pasal aku” tegas Mona. “Dah la, itu kan hal biasa. Kau ada aku dan pun tahu kan, ramai lagi yang nak kawan dengan kau” balas Leesa. Namaku Mona. 23 tahun. Dibesarkan disini. Disini tanah yang amat sulit untuk menjalani hidup. Penuh dengan hipokritnya mata yang melihatku serba tidak kena. Aku tahu aku tidak sempurna. Kakiku tempang dan wajahku tidak cantik seperti orang lain. Orang lain yang aku maksudkan adalah Jihah dan kawan-kawannya. Mereka selalu mengendahkan hati dan perasaanku. Hina sungguh hina diriku ini.

Seperti biasa aku ke kelas Encik Halim, aku akan bersedia. Dup dap dup dap jantungku berdegup seolah ada pesta larian di jiwaku.  Bersedia untuk dilemparkan kata-kata yang kesat dari mereka terutamanya ketua kumpulan. Bersedia! Mereka sudah datang. “Pakailah gincu sikit cik adik oii kalau dah tahu wajahmu bak momok di pokok petai” kata Jihah. Bernada sinis perlahan. Apa agaknya kali ni perlu aku jawab ye? “Oh, terima kasih”. Lega kali ini hanya begitu caranya tidak seperti hari-hari yang lain. Tapi bukannya aku tidak sedar aku berkelakuan seperti orang tunduk bodoh terhadap mereka. Tapi aku tahu kalau aku balas kata-kata mereka aku makin dibenci.

Happy birthday Mona!!!” tiba-tiba suara datang. “Hoi korang ni saja nak buat aku terkejut kan? Nasib baik tak ku angkat tongkat nih. Thanks tau korang” menahan sebak di jiwa berasa diri dihargai. “Sempena hari lahir Mona yang ke-23 ni kita semua doakan Mona terus berjaya. Jadi sahabat dan anak yang baik. Dan yang penting tahun depan terima anugerah best student lagi tau”. “Aminn... Untuk Amir, Efa, Zara dan Leesa.. Aku harap korang semua tetap jadi sahabat aku dunia akhirat. Terima kasih doakan kesihatan mak aku juga ye”.

“Kan mak dah cakap tadi kat kau Mona, jangan letak kain bersepah kat kerusi tuu”. Marah mak kat Mona. “Baiklah mak” jawab Mona. Mak aku sudah tiga tahun lumpuh tidak boleh berjalan. Setiap hari akulah yang akan bawakan mak ke sawah padi dengan kerusi rodanya. Sawah padi inilah yang menenangkan hati saat kami sedih, saat kami berasa sunyi teringatkan arwah abah. Aku lihat pepadi yang lembut melambai seakan sama dengan perangai ayah. Yang lemah lembut bicaranya. Yang tersusun kata-katanya.

Ada yang tertanya-tanya mengapa ayahku meninggal dunia. Ibuku lumpuh tidak berdaya dan aku tempang tiada kaki. Sebenarnya, ceritanya bermula dengan tragedi kemalangan yang menimpa kami bertiga. Sewaktu kami  dalam perjalanan mahu ke majlis berbuka puasa di masjid tengah bandar awalnya sangat ceria dan hari itu aku rasa hari puasa yang luar biasa dari hari-hari yang lain. Tapi apa nak ku bicara lagi, itu kan takdir tuhan. Tapi kadang-kadang aku hampa, apabila aku bertemu dengan sesiapa, mereka hanya berkata, “sabarlah ye..”. Memanglah betul aku harus bersabar. Aku tak salahkan mereka yang berkata begitu dan aku hormati ucapan mereka. Tapi itu tidak membantu kehidupanku. Hmm.. tiada siapa yang salah.

Dulu, masa arwah ayah ada, kehidupan keluarga kami sungguh meriah. Walaupun ayah sudah tua  setelah pencen bertugas sebagai seorang askar, ayah jua-lah yang memikul bebanan kami sekeluarga. Apa yang selalu bermain di bayangan fikiranku adalah pesan ayah supaya menjaga ibu. Aku ingat lagi waktu itu aku memandang jam dinding berwarna merah pekat, jam 10.45 malam; ayah ada berpesan:
“ kalau ayah dah takde nanti jaga-jagalah mak kamu tu.. sakit kanser bukan boleh dipandang remeh.. bukan ayah nak takutkan anak-anak.. tapi kak long, kamu yang ayah harapkan’.


“Arghh... Allahu Akbar.. sakitnya. Kak Long!! Tolong makk... mak dah tak tahan...”. Bukan orang lain. Ini suara ibuku dari dapur.
 “ Ya Allah, mak.. sabar mak.. sabar..sekejap Kak Long ambilkan kain”..
Mahu tercampak tongkatku melihat kaki mak berlumuran darah. Tidak mampu berbuat apa-apa lagi, terus aku ke rumah Pak Din jiran sebelah rumah..
“Dum! Dum!” macam nak terbelah pintu ku ketuk kuat rumahnya.
“Pak Din, tolong hantarkan mak saya ke hospital” jeritku kuat.
“Ye..ye.. Pak Din tengah makan tadi.. Sekejap nak basuh tangan”.
Cepat-cepat kerusi roda ibuku Pak din angkat dan terus bawak ke hospital.

Bayangkanlah jam 1.00 tengah malam mata ibuku belum terlena. Dari jam 10.00 malam tadi aku perhati. Apabila ditanya, tiada apa-apa katannya.. Gelisah aku dibuatnya bagai menerima berita tragedi. Air mata dari kehalusan hujung kelopak setitis demi setitis keluar mengalir bercerita tanpa henti. Sedang aku, tetap memegang erat tangan ibu.
“Mak lapar? Mona boleh carikan buah..”. Pujukku.
“Mak tak lapar.. mak tak dahaga. Cuma mak tak tahu kenapa”. Kali ni mak berkata.
“Kenapa apa mak? Aisshh.. apalaah mak ni”.
“Kenapa mak rasa rindu sangat dengan ayah kamu. Mak rasa dekat je”. Jawab ibuku.

Entahlah apa nak dikata . Aku hairan dengan kejadian tadi. Ibu mahu ambil gelas kaca di meja sahaja. Jatuh dan pecah terkena kakinya yang sudah lama sakit. Sudah lama aku menjaga ibuku yang sakit kanser tulang. Aku kira tiada pula seberat ini kesakitan yang dilalui. Aku tahu, Allah itu Maha Mendengar. Aku yakin, Allah Maha Mendengar.
“Kak long... Mona.. kak long.. ishhh Mona..”
“Ha? Ye mak.. mona terlelap tadi..” jawabku. Padahal tidak henti mengelamun tentang ibuku.
“Boleh mak tidur dulu?” perlahan suara mak.
“Iye mak dari tadi Mona nak mak tidur.. Mak kan penat. Alahh.. sakit sekejap je.. nanti takdelah tu esok*****Jam 6.00 pagi awal subuh aku tersedar. Lihat mak tiada.. Oh.. tertidur di sebelah katil rupanya. Biarlah.. mungkin ibuku penat sampai tertidur di sejadahnya. Sepuluh minit kemudian, ku lihat ibuku seperti diam tenang tiada kelihatan kedut-kedut di wajahnya.


“Mak.. mak.. Bangun mak. Makan dah ada ni”. Ucapku dengan rasa rindu bagaikan bertahun tidak bertemu.
“Mak!! Tolonglah bangun.. Mona rindu mak ni..” ku tinggikan sedikit suara supaya dia begerak.


Ya allah... Ibuku sudah tiada.. Tidur buat selamanya-lamanya. Mungkin singkat sahaja waktu itu bercerita. Tetapi, begitu peritnya aku menjalani hidup tanpa ibu disisi. Ingin sahaja aku berlari mendakapi susuk tubuhnya.. ya Rahman,. Ya Rahim, ku tahu Kau mendengar.. Sesekali aku bertanya pada hati, kenapa Allah menguji ibuku dengan sakit kanser tetapi berakhir kematiannya dengan hanya sebiji gelas kaca yang menjadi punca. Oh allah.. Aku percaya.. kerana itu takdirnya hidup. 

Tuesday, June 2, 2015

FILEM PENDEK PERTAMA LAKONAN IQBAL & MALIS ( CINTA VS BENCI ) 1 JUN 2015


1 JUN 2015 saya sebarkan video hasil ciptaan saya sendiri bagi tugasan subjek Digital Media di ASWARA. Sebenarnya kerja ini bukanlah bidang saya namun saya lakukannya juga walau pengalaman belum ada. Dirakam oleh saya menggunakan iPhone6 dan diedit sepenuhnya juga menggunakan iPhone6.. Terima kasih kepada sahabat saya Solehin yang ada membantu sama dalam rakaman ini. Terima kasih juga buat Normalis yang sudi melakonkan watak kedua bersama saya.

Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM 31 MEI 2015 - AHMAD IQBAL ZULKEFLI

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM(31 MEI 2015)

TAJUK BUKU : Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN (Adnie Bahiah)

NAMA PESERTA : AHMAD IQBAL BIN ZULKEFLI

NOMBOR KAD PENGENALAN : 940912-03-****

E-MEL : ahmadiqbalzulkefli@gmail.com

FACEBOOK : Ahmad Iqbal Zulkefli


Bismillahirrahmanirrahim..

Benarkah saudara, kata orang zaman remaja merupakan saat yang paling berharga dalam usia kita?  Kegelisahan dan keterujaan dalam hati yang diisi suka duka sebuah perjalanan seorang remaja yang penuh cerita rahsia demi menjadi manusia yang berguna. Adakah mutiara yang dicipta atau sekadar bara kepanasan menghasilkan debu penyesalan? Inilah CERITA LIMA BULAN sebuah buku nukilan Adnie Bahiah anak jati Kelantan, lahir pada 14 Julai 1990 kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Buku ini merupakan kumpulan puisi remaja 62 halaman terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) saya merasakan amat bermanfaat dibaca oleh seluruh remaja bahkan sesuai untuk sesiapa sahaja penggemar puisi. Ketika kita dalam kedukaan, ia seolah-olah memanggil lantas berbisik “sabarlah.. sekejap sahaja. Kau harus lalui dengan gembira”. Bagi yang berputus asa, puisinya hadir dan memujuk hati “bangkitlah kembali, air matamu hanyalah mimpi sedetik”. Bagi yang bercinta, teguh bicaranya pada telinga “berpeganglah pada urat nadi kepatuhan terhadap Ilahi, ia kan bersemi”. Sesekali penulis juga berasa sedih dan hampa dengan hakikat kepayahan hidup sebagai remaja bahkan beliau sendiri bertemankan titisan air yang mengalir pergi. Hari beralih hari, bulan diganti bulan maka lahirlah setiap bait puisi yang teguh berprinsip jati diri mendidik jiwa bangkit dari mimpi ke landasan realiti.

Sepertinya penulis mengerti akan pahit getir seseorang remaja meniti perjalanan menantikan kedewasaan memimpin kita. Sesiapapun pasti teruja jika membuka halaman 10, penulis ada berkata dalam puisinya :

“Aku hanya pelarian hati
Seperti pungguk rindukan bulan
Menunggu jawapan untuk esok
Mencari erti kehidupan hakiki.”

Saya dapat merasai penulis ingin menyatakan bahawa kita sebagai manusia, hati kecil ini diumpakan seperti pelarian kerinduan yang sentiasa berlari mencari Penciptanya Ilahi sehinggalah berhenti di syurgawi nanti. Penulis mempersembahkan nilai kecintaan terhadap Ilahi sangat saya kagumi. Bagi sesiapa yang mendalami Puisi berjudul Pelarian Hati karya Adnie Bahiah ini pasti mengingati tentang kita. Tentang kita yang menempuhi usia remaja yang bernoda kelunturan iman di kekacauan rasa risau dan berharap menemukan kehidupan yang bahagia.



Penulis Adnie Bahiah kali ini bangkit menerbitkan sebuah puisi bertemakan perasan sebuah cinta bagi riwayat seorang remaja. ‘Tafsir Sebuah Cinta’. Beliau ternyata fasih dengan jiwa remaja yang sering bermimpi dengan cinta. Katanya, cinta ibarat mimpi yang sungguh indah dan mempunyai berjuta rasa. Bererti tatkala ada bersama dan masih bermakna walau berpisah. Lantas, katanya itulah sebuah kehidupan fantasi tiada arah bagi remaja yang terlena. Saya sebenarnya tertarik dengan bait kata dan gaya bahasanya yang berpuitis namun penulis tetap menguasai teknik penyampaian terhadap minda pembacanya. Tidak terlalu rendah. Tidak juga terlalu tinggi bait yang diperhiaskan membuatkan pembaca terbawa-bawa dengan hidangan karyanya yang berjasa. Berpandukan pada puisi ‘Tafsir Sebuah Cinta’, saya  terdetik ingin memaparkan penulisannya pada kajian ini :

“Sebenarnya itu bukan cinta
Cuma gelora rasa
Yang penuh madah pujangga
Ombak yang menghanyutkan khayalan sebentar
Membuat jiwa gelisah menjadi tenang”

Kadang-kala saya berkata pada hati, kenapalah buku Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN karya Adnie Bahiah ini baru muncul pada saya. Mengapa tidak sewaktu saya awal-awal meningkat usia dahulu yang bercelaruan mencari arah dan makna kehidupan remaja. Namun, pagi yang senja ini saya gembira dengan adanya CERITA LIMA BULAN yang mengajarkan saya erti kesabaran dan kekuatan. Halaman 57, puisi Segundah Langit Cinta pernah berpesan kepada saya supaya tepiskan segala kedukaan. Katanya, “Usah khuatir langit duka, Esok bukalah luas mata”. Kala hati mulai berputus harap, puisi Segera Bimbang hadir beralun “Segera usahlah engkau pasrah, Ada syair yang aku gubah”. Saat gundah mulai singgah, munculah ia berdoa dalam puisi Antara Sejuta Rindu Abadi dengan madah “Hanya sejuta rindu abadi, Mencatat setulus doa buatmu”. Buku ini mendidik erti kasih, memberi makna sayang. Buku ini mencungkil kesombongan jijik, mengukir perasaan baik. Buku ini menghapuskan syaitan pengkhianat, mencintai tuhan ke akhirat.

Meskipun ia cuma titisan dakwat dari pena, ia  bukan semata-mata sebuah karya yang beruntaian kata-kata atau cerita khayalan. Ada suatu malam, saya terbuka buku ini pada halaman 33. Padanya ada tertulis sebuah puisi berjudul ‘Esok, Lusa dan Minggu Depan’. Dalam hati berkata, “Ya Allah, betapa hina hamba-Mu hidup tanpa arah tujuan”. Puisi ini memberi kesedaran agar manusia harus teguhkan iman, mantapkan rohani, tabah dan berani menjalani hari. Saya pun tidak sangka Allah menggerakkan pintu hati saya melalui puisi cetusan CERITA LIMA BULAN ini. Saya fikir, mungkin penulis sudah lama berdoa dan berharap agar ilmunya dapat menghiasi hati yang letih. Seandainya saya diberikan peluang, mahu saja saya berdiri di mimbar padang luas sambil mengangkat buku ini berulang kali melontarkan suara “Hiduplah hati wahai saudaraku semua.. Bacalah.. Bacalah.. Bacalah.. Tuhanmu sentiasa ada”.

Saudara, jika kamu bersua dengan penulis ini, sampaikan salam saya kepadanya dan katakan sahaja: “Terima kasih kerana melahirkan karya yang mendidik hatiku bertasbih pada Ilahi. Terima kasih kerana memahami nilai diri seorang remaja yang kesepian dihantui kegelisahan. Kerana jasa perjuanganmu, semalam Allah hadir mengetuk pintu hatiku dan Dia ada berkata kita harus bersatu membina sebuah negara yang bahagia. Benarkah saudara apa yang aku fahami dalam puisimu senja tadi, kau mahu seluruh jiwa berjiwa merdeka? Kau telah berjaya. Apa benar, kau pernah berhasrat keajaiban Allah akan tiba memimpin perjalanan kita ke syurga? Oh ya.. aku juga mendoakan yang sama. Amin..” Semoga setiap butiran kata itu merupakan harta buatmu saudara Adnie Bahiah yang akan mengalir di jasad dan nyawa sehingga berjaya selama-lamanya. Terima kasih saya hamparkan kepada ITBM kerana mewujudkan karya yang berguna. Baik dunia juga akhirat. Maafkan segala patah dan ungkapan saya berbicara, pasti ada silapnya. 

Astaghfirullahal azim..
Subahanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar..


Friday, May 29, 2015

PERTANDINGAN MULTIMEDIA INTERAKTIF PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2013

Saya mewakili SMU(A) Ismailiah Binjai Manis, Pasir Mas pada tahun 2013 menyertai pertandingan ini secara kebetulan sahaja pada mulanya. Mendapat johan peringkat daerah Pasir Mas, saya mengetuai kumpulan 5S Production (Syahmi, Syed Iqbal, Saiful, Syarafi) membentangkan hasil kerja dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Untuk pertandingan peringkat negeri yang dibentangkan pada Dewan Yayasan Islam Kelantan di hadapan ratusan pelajar seluruh Kelantan, akhirnya kami mendapat Naib Juara dalam pertandingan tersebut. Berikut adalah gambar dari hasil kerja saya sendiri.






PERTANDINGAN NASYID PERINGKAT NEGERI KELANTAN

Kumpulan gambar sewaktu saya menyertai kumpulan nasyid Nurul Huda di Maahad Muhammadi Pasir Mas, Kelantan.

JUARA NASYID PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2012
ANJURAN MAJLIS ADAT DAN ISTIADAT NEGERI KELANTAN

PERSEMBAHAN NASYID SECARA LANGSUNG DI MAHABBAH IKIM.FM 2012

PERSEMBAHAN DAN RAKAMAN SECARA LANGSUNG KELANTANTV BERSAMA ALLAHYARHAM TOK GURU NEGERI KELANTAN.

BERSAMA DJ KAK SITI IKIM.FM DI PENTAS MAHABBAH IKIM.FM

AHLI NASYID KUMPULAN NURUL HUDA BERSAMA TENAGA PENGAJAR RUSLY AKADEMI AL-QURAN 2012

AHLI NASYID KUMPULAN NURUL HUDA BERSAMA TENAGA PENGAJAR RUSLY AKADEMI AL-QURAN 2012

JAMUAN MAKAN BERSAMA KUMPULAN NASYID NURUL HUDA 2012

PERTANDINGAN MINGGU #THROWBACK ANJURAN DATO HAJI AZNIL NAWAWI (12 MAC 2015)

Dato Haji Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Nil mengadakan pertandingan MINGGU THROWBACK di Instagram secara terbuka kepada seluruh rakyat malaysia. Dalam pertandingan tersebut, penyertaan akan dinilai melalui gambar dan penulisan kenangan peserta di #minggutb. Lebih kurang 300 peserta/gambar/penulisan dipertandingkan. Dalam pertandingan tersebut, salah seorang peserta akan menerima hadiah iPhone 6 dari Pak Nil. Syukur, rezeki kali ini bertempat pada saya dengan usaha dan doa berterusan. Disini saya kongsikan gambar dan video serta penulisan yang saya sertai.




____________________________________________________________________________

            

Selama 5 bulan saya bekerja di KFC tahun ini bukan mudah walau senang dilihat. Seorang diri dari kampung, saya sewa sebuah bilik yang asalnya sebuah dapur lalu dijadikan bilik. Berjalan dan menunggu bas selama sejam perjalanan untuk tiba di tempat kerja setiap hari.

Didalam bilik saya cuma ada barangan asas seperti air mineral, sebiji bantal, tikar, pakaian dan Al-Quran. Cukup sedih setiap hari jam 12 malam saya dirumah kelaparan. Bertahan juga menunggu makanan percuma ditempat kerja. Tiga kilogram berat badan menurun. 
Apabila orang kampung bertanya, saya dengan nada gembira katakan saya disini sangat selesa dan cukup lengkap semuanya senang. Tekad dihati, "aku mesti belajar berdikari". Tiba suatu masa, mendengar cerita saya adik-adik teruja untuk datang 'bercuti' bersama. "Ingatkan ada aircond dan wifi" kata adik lelaki saya. Hilang kata-kata. Dalam diam saya rasa bersedih kerana dari jauh adik datang untuk meluangkan masa cuti sekolah, saya berhenti kerja berkebetulan sudah merancangnya untuk henti, lalu kami empat beradik ke Sunway Lagoon.. Disini mereka bertiga mendapat pengalaman dan mungkin apabila besar kami akan ulang untuk bercerita kembali..



                                                                                                   



Mengenang kembali KEBAKARAN RUMAH datuk pada tahun 2010.

Sedih dan hiba tidak terkata, kehilangan seribu kenangan. Bayangkan, walaupun teratak penghulu kampung ini tidak semewah rumah lain, namun rumah inilah saya dibesarkan, rumah inilah tempat utama berkumpul bagi seluruh penduduk kampung dan keluarga serta orang luar datang berurut dengan datuk.

Rumah hasil binaan datuk sendiri ini didindingnya dipenuhi ukiran lukisan pemandangan dilukisnya. Berkecai runtuhnya hati apabila melihat orang kampung juga wartawan akhbar datang menangis dihadapan kejadian tersebut. Apapun, dengan peristiwa ini jugalah menguraikan erti perpaduan dan kebahagiaan.

Semoga hati sentiasa berbahagia dengan rasa kesyukuran 😃 #MingguTB #paknil



SERBA RASA apabila membaca kembali surat-surat diterima zaman sekolah dahulu. Lucu. Terharu. Dihargai. Paling menyentuh perasaan, salah satu dari surat-surat tersebut adalah pemberian daripada ibu sewaktu dia dihidapi sakit kanser tahap 4 ( 2011 ). Di tulisannya berupa doa dan pengharapan terakhir. Pesan ibu, simpan suratnya sehingga saya besar dan bekerja kelak. Lantas saya kehadapan tikar ibu, lihat air matanya tidak henti menitis namun tidak kuat untuk berbicara.

Siapa tahu kuasa Allah, nenek yang tiada demam tiada sakit dijemput Allah dahulu saat menjaga ibu sakit. Siapa tahu juga ibu yang sakit tenat, hari ini disembuhkan Allah tanpa sedikitpun kesan yang tertinggal dari penyakitnya sebelum ini. Kata ibu, di waktu sakit, dia berdoa agar disembuhkan kembali hanya kerana untuk menjaga anaknya lapan orang ini. Alhamdulillah, ibu masih ceria dan aktif mengajar di sekolah sehingga hari ini.

#MingguTB #paknil @aznilnawawihm







TAKKAN AKU LUPA KENANGAN INI. ( 2014 ) 

Tiba-tiba lalu di depan saya membawa dua orang anak. Saya kejar dia menjauh sambil meneruskan perjalanan. Akhirnya saya halang dan bertanya apa masalahnya sehinggakan jam 1:00pagi sanggup membawa beg besar dan anak-anak kecil sebegini. Menangisnya tanpa henti tetapi tidak mahu membuka cerita. Satu persatu perkataan terus terbuka cerita. "Akak ada masalah dengan suami akak ye?" saya tanya. 
Bukan mahu masuk campur hal dalaman cuma ingin menyelesaikan. Seorang demi seorang datang dan akhirnya datang suaminya. Sayu melihat wajah suaminya, baik dan beradab masih menjaga keadaan agar tidak terbuka aib sesiapa. Saya pun kesian dengan isterinya juga bukanlah ada perangai cuma mungkin Allah menduga mereka kali ini. 


Di tengah jalan suaminya menitis air mata meluahkan seperti tiada arah lagi. Saya dukung anaknya yang kemas menggenggam tangan saya. Jam 3:00pagi barulah selesai kes setelah suaminya menghantar ke rumah kawan baiknya. Semoga Allah menjaga hati si suami dan isteri serta anak-anak, baik akhlak, baik kesihatan, baik budi dan baik segalanya.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm



(VIDEO) TIADALAH hari seindah AIDILFITRI.

Bilamana waktu dukamu datang, kenangkan kembali waktu bersama.. Percayalah bahawa kita tidak pernah bersendirian.. 29 JULAI 2014 #MingguTB #paknil@aznilnawawihm


Throwback 2014 with MY FAMILY.. Waktu dihadapan kamera, semuanya mengukir senyuman dengan indah tawanya.. Akan tetapi, bagaimana jika salah seorang daripadanya meninggalkan kami semua suatu hari nanti?

Gambar inilah mengingatkan kembali bahkan menjadi bukti kebersamaan kami di hari mendatang kelak.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm



THROWBACK pengalaman di awal tahun 2014 mendaki puncak Pantai Kuala Abang, Terengganu.. Hanya di Malaysia tanah air kita. Untuk mendapatkan pemandangan dan gambar sebegini, saya harus menaiki puncak batu setinggi bangunan tiga tingkat. Lihat, ada seorang lelaki dibawah sana kelihatan seperti sebesar semut. Hihhi.. Oh tidak! Bertahan dari menjenguk ke bawah untuk mengelakkan rasa gerun. Wahh.. Nyaman, bebas dan menenangkan.

#MingguTB #paknil @aznilnawawihm


THROWBACK KELAHIRAN 1994-2014.

Hai kawan, jangan malu untuk bertanya kembali pada ibu ayahmu tentang asal usulmu. Nescaya kau akan tahu betapa bernilainya orang tua serta kehidupanmu kini. Sewaktu dalam kandungan, bapa saya baru sahaja berhijrah keluar Malaysia. Tatkala ibu teruja untuk memberitahu berita kepada ibu mertuanya bahawa dia hamil, perasaan berubah gundah seusai melihat ibu mertuanya meninggal dunia.

Gambar semasa berusia 3 bulan berkulit hitam bukan kerana tiada kamera 360. Hihhi.. Menariknya, kecil-kecil dulu ibu selalu meletakkan duit syiling 5sen di permukaan pusat. Petua orang arab lagi, kening akan diukir dengan celak. Datuk lagi macam-macam, ditekankan jarinya ke lelangit; katanya untuk menaikkan batang hidung. Seingat saya lagi, bapa saudara selalu mencabut gigi menggunakan benang dan saya tidak pernah dihantar ke klinik seusia itu. Hihihi.. Siapa pernah ada pengalaman meletakkan pepatung di pusat? Hahha.. Kena gigit.. #MingguTB#paknil


1 JUN 2013.

Pada pandangan mata kasar, ia cuma sebuah gambar yang dianggap suatu kenangan. Hakikatnya apabila mendalami wajah satu persatu kedalam matanya, gambar ini adakalanya menjadi pemujuk dikala saya kegelisahan, peneman di waktu kesunyian. Ternyata adik-adik ini masih lagi seperti dahulu yang mesra dan suka bermanja dalam kehidupan saya. 
Semoga besar nanti, mereka menjadi penghibur semua orang dan berbakti kepada seluruh orang dalam hayatnya.

#MingguTB #paknil


2 JANUARI 1990, KAHERAH, MESIR.

Gambar ayah yang paling bernilai sewaktu berada di Kaherah, Mesir. Tahun pertama perkahwinan berumah disana.

Tentang gambar ini, ayah terpaksa disoal jawab semasa pemprosesan membuat passport disebabkan mempunyai jambang di mukanya disyaki bukan warganegara Malaysia, lalu dipotong terhasillah seperti di dalam gambar ini. ........................................................................................Kisah benar berlaku di sebuah kedai arab: Saat itu umie dan baba di awal perkahwinan berjalan ke kedai. Pak arab menegur bahawa cincin baba sangat cantik. Lalu, dimintanya untuk lihat. Terus pak arab merebut dan tidak mahu kembalikan semula. Bertolak tarik, akhirnya cincin tersebut dimasuk kedalam mulutnya lantas ditelannya. Aduhai pak arab.. #MingguTB #paknil


VIDEO: IMBASAN KESELURUHAN GAMBAR-GAMBAR THROWBACK.

Semoga bermanfaat bagi kita semua dengan segala cerita disebalik gambar yang saya kongsikan. Ia mungkin bukan yang terbaik. Cuma harapan saya, sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi rasa.

Mohon maafkan saya seandainya @aznilnawawihmserta sesiapa sahaja yang kurang senang atau salah laku saya selama seminggu saya bersama kalian. 
Tercetusnya pertandingan ini ada kalah menang, apapun ia tetap menghasilkan suatu kenangan baik bilamana jatuh bangkitnya perjalanan hidup dimemorikan disini. Teruskan senyum dan senyumlah. Silakan ikuti saya di instagram@ahmadiqbalzulkefli . Terima kasih.

#MingguTB #paknil


Selepas tamat persekolahan 2013,
Saya bertekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur melatih diri berdikari. Menyewa bilik kecil yang asalnya sebuah dapur. Selama 5 bulan saya bekerja di KFC dengan menaiki bas selama 40 minit perjalanan ke tempat kerja. Pada masa dan hari yang sama, saya juga bekerja sebagai jurugambar di kedai barangan inggeris. 
Apabila ditanya keluarga dan orang di kampung, saya dengan nada gembira katakan bahawa keadaan saya sangat selesa; padahal waktu itu banyak cabaran menguji satu persatu. Setelah berhenti kerja di KFC untuk memberi tumpuan kepada adik-adik datang dari kampung, saya memilih kerja di MCDonald. Kenapa? Saya minat sesuatu yang berdepan dengan masyarakat ramai.

Sehinggalah saya kenal ramai orang, ternyata kesabaran di disebalik kepayahan memberi hasil. Sesuatu yang tidak pernah dijangka. Mendapat kerja yang lagi baik. 22 Februari 2015 saya menyambung pelajaran program diploma penulisan di ASWARA. Doakan semuanya baik-baik sahaja.. #MingguTB#mingguthrowback #hotfm976 #HotFMBelanjaSaya


TERIMA KASIH PAK NIL, TERIMA KASIH SEMUA.

Sejujurnya, saya rasa serba salah terhadap Pak Nil dan seluruh masyarakat. Padahal ia cuma gambar dan ungkapan kata, ia dapat menggandakan kepada sebuah hadiah iPhone 6 yang tidak mungkin saya terbeli.

Saya mengerti ada yang berusaha, namun tidak memenangi namun pastinya saya tidak mahu kita semua patah hati. Saya sudah berkali dibawah, bukan hanya di pertandingan bahkan menggagah untuk melangkah hidup. Bagi saya, berusaha berterusan itulah suatu kemenanganmu. Kamu semua sahabat saya. Mohon maafkan saya atas kemenangan ini. Sebesar mana degupan saya di waktu kegembiraan hari ini, sekencang ini juga cabaran dilalui setiap tahap saya jejaki.

Buat seluruh masyarakat yang membaca ini saya hormati; saya selalu ingatkan diri saat hati mula alpa: walau apapun agamamu, walau sepanjang mana perjalananmu, walau sebesar mana dosamu, walau setinggi bahkan dilubuk terpencil kamu berada, LETAKKAN IBU DAN AYAHMU NOMBOR SATU, orang tua-tua dihormati, anak kecil disayangi. Melalui mereka ini, segala hal dipelajari. Jika sahabat semua ada perkongsian atau pesanan kepada saya, silakan.. Terima kasih Pak Nil, Terima kasih semua. Jumpa lagi! #MingguTB #paknil#aznilnawawihm #aswara @aznilnawawihm 
Salam hormat daripada saya: Ahmad Iqbal Zulkefli.