Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM 31 MEI 2015 - AHMAD IQBAL ZULKEFLI

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM(31 MEI 2015)

TAJUK BUKU : Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN (Adnie Bahiah)

NAMA PESERTA : AHMAD IQBAL BIN ZULKEFLI

NOMBOR KAD PENGENALAN : 940912-03-****

E-MEL : ahmadiqbalzulkefli@gmail.com

FACEBOOK : Ahmad Iqbal Zulkefli


Bismillahirrahmanirrahim..

Benarkah saudara, kata orang zaman remaja merupakan saat yang paling berharga dalam usia kita?  Kegelisahan dan keterujaan dalam hati yang diisi suka duka sebuah perjalanan seorang remaja yang penuh cerita rahsia demi menjadi manusia yang berguna. Adakah mutiara yang dicipta atau sekadar bara kepanasan menghasilkan debu penyesalan? Inilah CERITA LIMA BULAN sebuah buku nukilan Adnie Bahiah anak jati Kelantan, lahir pada 14 Julai 1990 kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Buku ini merupakan kumpulan puisi remaja 62 halaman terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) saya merasakan amat bermanfaat dibaca oleh seluruh remaja bahkan sesuai untuk sesiapa sahaja penggemar puisi. Ketika kita dalam kedukaan, ia seolah-olah memanggil lantas berbisik “sabarlah.. sekejap sahaja. Kau harus lalui dengan gembira”. Bagi yang berputus asa, puisinya hadir dan memujuk hati “bangkitlah kembali, air matamu hanyalah mimpi sedetik”. Bagi yang bercinta, teguh bicaranya pada telinga “berpeganglah pada urat nadi kepatuhan terhadap Ilahi, ia kan bersemi”. Sesekali penulis juga berasa sedih dan hampa dengan hakikat kepayahan hidup sebagai remaja bahkan beliau sendiri bertemankan titisan air yang mengalir pergi. Hari beralih hari, bulan diganti bulan maka lahirlah setiap bait puisi yang teguh berprinsip jati diri mendidik jiwa bangkit dari mimpi ke landasan realiti.

Sepertinya penulis mengerti akan pahit getir seseorang remaja meniti perjalanan menantikan kedewasaan memimpin kita. Sesiapapun pasti teruja jika membuka halaman 10, penulis ada berkata dalam puisinya :

“Aku hanya pelarian hati
Seperti pungguk rindukan bulan
Menunggu jawapan untuk esok
Mencari erti kehidupan hakiki.”

Saya dapat merasai penulis ingin menyatakan bahawa kita sebagai manusia, hati kecil ini diumpakan seperti pelarian kerinduan yang sentiasa berlari mencari Penciptanya Ilahi sehinggalah berhenti di syurgawi nanti. Penulis mempersembahkan nilai kecintaan terhadap Ilahi sangat saya kagumi. Bagi sesiapa yang mendalami Puisi berjudul Pelarian Hati karya Adnie Bahiah ini pasti mengingati tentang kita. Tentang kita yang menempuhi usia remaja yang bernoda kelunturan iman di kekacauan rasa risau dan berharap menemukan kehidupan yang bahagia.



Penulis Adnie Bahiah kali ini bangkit menerbitkan sebuah puisi bertemakan perasan sebuah cinta bagi riwayat seorang remaja. ‘Tafsir Sebuah Cinta’. Beliau ternyata fasih dengan jiwa remaja yang sering bermimpi dengan cinta. Katanya, cinta ibarat mimpi yang sungguh indah dan mempunyai berjuta rasa. Bererti tatkala ada bersama dan masih bermakna walau berpisah. Lantas, katanya itulah sebuah kehidupan fantasi tiada arah bagi remaja yang terlena. Saya sebenarnya tertarik dengan bait kata dan gaya bahasanya yang berpuitis namun penulis tetap menguasai teknik penyampaian terhadap minda pembacanya. Tidak terlalu rendah. Tidak juga terlalu tinggi bait yang diperhiaskan membuatkan pembaca terbawa-bawa dengan hidangan karyanya yang berjasa. Berpandukan pada puisi ‘Tafsir Sebuah Cinta’, saya  terdetik ingin memaparkan penulisannya pada kajian ini :

“Sebenarnya itu bukan cinta
Cuma gelora rasa
Yang penuh madah pujangga
Ombak yang menghanyutkan khayalan sebentar
Membuat jiwa gelisah menjadi tenang”

Kadang-kala saya berkata pada hati, kenapalah buku Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN karya Adnie Bahiah ini baru muncul pada saya. Mengapa tidak sewaktu saya awal-awal meningkat usia dahulu yang bercelaruan mencari arah dan makna kehidupan remaja. Namun, pagi yang senja ini saya gembira dengan adanya CERITA LIMA BULAN yang mengajarkan saya erti kesabaran dan kekuatan. Halaman 57, puisi Segundah Langit Cinta pernah berpesan kepada saya supaya tepiskan segala kedukaan. Katanya, “Usah khuatir langit duka, Esok bukalah luas mata”. Kala hati mulai berputus harap, puisi Segera Bimbang hadir beralun “Segera usahlah engkau pasrah, Ada syair yang aku gubah”. Saat gundah mulai singgah, munculah ia berdoa dalam puisi Antara Sejuta Rindu Abadi dengan madah “Hanya sejuta rindu abadi, Mencatat setulus doa buatmu”. Buku ini mendidik erti kasih, memberi makna sayang. Buku ini mencungkil kesombongan jijik, mengukir perasaan baik. Buku ini menghapuskan syaitan pengkhianat, mencintai tuhan ke akhirat.

Meskipun ia cuma titisan dakwat dari pena, ia  bukan semata-mata sebuah karya yang beruntaian kata-kata atau cerita khayalan. Ada suatu malam, saya terbuka buku ini pada halaman 33. Padanya ada tertulis sebuah puisi berjudul ‘Esok, Lusa dan Minggu Depan’. Dalam hati berkata, “Ya Allah, betapa hina hamba-Mu hidup tanpa arah tujuan”. Puisi ini memberi kesedaran agar manusia harus teguhkan iman, mantapkan rohani, tabah dan berani menjalani hari. Saya pun tidak sangka Allah menggerakkan pintu hati saya melalui puisi cetusan CERITA LIMA BULAN ini. Saya fikir, mungkin penulis sudah lama berdoa dan berharap agar ilmunya dapat menghiasi hati yang letih. Seandainya saya diberikan peluang, mahu saja saya berdiri di mimbar padang luas sambil mengangkat buku ini berulang kali melontarkan suara “Hiduplah hati wahai saudaraku semua.. Bacalah.. Bacalah.. Bacalah.. Tuhanmu sentiasa ada”.

Saudara, jika kamu bersua dengan penulis ini, sampaikan salam saya kepadanya dan katakan sahaja: “Terima kasih kerana melahirkan karya yang mendidik hatiku bertasbih pada Ilahi. Terima kasih kerana memahami nilai diri seorang remaja yang kesepian dihantui kegelisahan. Kerana jasa perjuanganmu, semalam Allah hadir mengetuk pintu hatiku dan Dia ada berkata kita harus bersatu membina sebuah negara yang bahagia. Benarkah saudara apa yang aku fahami dalam puisimu senja tadi, kau mahu seluruh jiwa berjiwa merdeka? Kau telah berjaya. Apa benar, kau pernah berhasrat keajaiban Allah akan tiba memimpin perjalanan kita ke syurga? Oh ya.. aku juga mendoakan yang sama. Amin..” Semoga setiap butiran kata itu merupakan harta buatmu saudara Adnie Bahiah yang akan mengalir di jasad dan nyawa sehingga berjaya selama-lamanya. Terima kasih saya hamparkan kepada ITBM kerana mewujudkan karya yang berguna. Baik dunia juga akhirat. Maafkan segala patah dan ungkapan saya berbicara, pasti ada silapnya. 

Astaghfirullahal azim..
Subahanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar..


No comments:

Post a Comment