Friday, May 29, 2015

PERTANDINGAN MENULIS ANJURAN ABDUL LATIP TALIB (25 FEBRUARI 2013)

PERTANDINGAN MENULIS ANJURAN ABDUL LATIP TALIB
 ( PENULIS NOVEL SEJARAH ISLAM NO.1 MALAYSIA ) 2013.
PENYERTAAN TERBUKA KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA, INDONESIA, SINGAPURA DAN BRUNEI.


PEMENANG UTAMA
PESERTA 40 : AHMAD IQBAL BIN ZULKEFLI
 ( 940912-03-****), MALAYSIA.
PELAJAR MAAHAD MUHAMMADI PASIR MAS

KESAN KE ATAS DIRI SAYA SETELAH MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM :
MERASA SEOLAH MATI HIDUP KEMBALI

Sebelum membacanya, tenangkan fikiran dan mulakanlah dengan “Bismillahirrahmanirrahim”.. Alhamdulillah..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Jika buku lain mengajar saya berfikir, novel ini telah membuktikan saya dengan kejayaan. Jika buku lain mendidik saya mendekati Allah, namun novel ini membawa saya sujud mengabdi terhadap Ilahi. Itulah yang saya rasakan setelah ditemani Novel Sejarah Islam yang dikarang oleh Abdul Latip Talib; idola yang saya hormati dan kian lama dirindui untuk didekati. Ternyata benar kata sahabat dan saudara diluar sana mengenai novel ini sehingga setelah membacanya saya merasakan seolah mati hidup kembali. Dari yang pahit menjadi manis. Dari yang jahil menjadi arif. Dari lemah berubah gagah. Dari keegoan merendah diri. Rupa-rupanya sebelum ini tidak saya sedari bagaimana bisa terjadi kewujudan Islam dimuka bumi ini. Novel inilah yang membuatkan saya mengerti tentang sebuah kehidupan yang sebenar-benarnya kehidupan. Hadirnya saya bukan untuk menang bicara dan bukan juga ingin bercerita tetapi untuk kita bersama mengambil pengajaran selagi masih bernafas dalam arus dunia. Saya bukan seorang pahlawan perkasa malah mungkin saya lebih hina dari saudara tetapi begitu berkuasa Novel Sejarah Islam ini menyinari cahaya jiwa saya.

Saudara yang saya hormati,

Sungguh. Pedih yang saya rasakan ketika ibu menghidapi kanser payudara tahap ketiga. Salah satu penyakit yang paling merbahaya didunia bagi wanita. Belum sempat mentari pagi menyinari bumi, tangisan sakit ibu saya telahpun berbunyi memanggil supaya diusung kebilik air untuk berwuduk. Hari beralih hari selama enam bulan kesedihan dirasai. Cuba lihat; ketika itu juga, mungkin kita fikir ia adalah kebetulan tetapi ia disengajakan oleh Allah menghadirkan beberapa buah Novel Sejarah Islam kepada saya. Saya dapati novel inilah yang mengajar saya berani menempuhi hari, mendidik hati supaya tabah dan yakin akan Allah itu diriNya Maha Adil dan Maha Mengasihani. Walaupun nenek dijemput Ilahi meninggalkan kami sekeluarga tatkala menemani ibu sakit, tidak saya lupa akan kisah pada halaman 241 di dalam novel Imam Syafie Pejuang Kebenaran bagaimana sabarnya Imam Syafie menahan sakit buasir berdarah sehingga kasutnya dibasahi darah sewaktu menunggang kuda. Namun berkat doa dan kesabaran, kini ibu kembali sihat dan mampu memandu keretanya pergi mengajar disekolah seperti tiada apa yang berlaku sebelum ini. Itu kuasa Allah walau dengan hanya helaian kertas dinovel pun Ia boleh mendidik. Mungkin kerana gaya bahasa dan jalan penceritaannya yang menarik. Mungkin juga kerana berkat usaha Abdul Latip Talib berpijak kaki ke tanah luar mencari ilmu sejarah demi menyampaikan dakwahnya.

Setelah seorang demi seorang ulama’ yang saya kenali melalui novel ini, saya dapat tahu ternyata kecintaan para ulama’ terhadap Allah terbukti bercahaya sehinggakan ia dapat menguasai jiwa saya sewaktu membuat persembahan nasyid dikhalayak ramai. Saya mula berfikir sedangkan Salahudin al-Ayubi sudah berpenat lelah mempertahankan bumi ini, apa harus saya melupakan kisah sejarahnya? Begitu sedih pada pagi Ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah sewaktu Umar al-Khattab menghadapi mati. Lalu saya fikir, “ Adakah harus aku gugurkan bumi setelah seorang ulama’ bermandikan darah mempertahankan agama dan hariku yang sehingga kini masih lagi dapatku berdiri?” Itulah persoalan yang bermain diminda setelah mengenal erti kepayahan dan keperitan perjuangan seorang ulama’. Setelah memahami, jelas sekali Allah membuka pintu hati ketika saya mengadakan setiap persembahan nasyid. Jika dahulu mereka bersenjatakan pedang tetapi kini berjuang dengan suara dan perasaan yang saya alunkan demi menyampaikan ajaran; Allah mempermudahkan saya dengan kemenangan tempat pertama di peringkat negeri Kelantan yang disertai 16 buah daerah. Lirik itu menjadi misteri seperti wujud satu rohani. Saya sebagai pengerusi kumpulan nasyid pada waktu itu dipermudahkan segala urusan setelah mengambil iktibar berwawasan para pejuang Allah seperti Ikramah Si Penentang Jadi Pembela, Ali bin Abu Talib sebagai Mutiara Ilmu Islam dan empat orang imam zaman Bani Abbasiyah mewarnai pelangi kehidupan saya sehingga dijemput ke siaran TV IKIM.fm dan KELANTAN.tv untuk membuat persembahan.

Jika saudara disana merasakan letih diuji, saya juga perit. Tetapi itu sebelum saya mengenali novel ini. Tidak hairan saya boleh menjadi berani kerana saya tahu Ikramah itu dari penentang berubah menjadi pembela agama. Ketika berumur 17, saya pernah sakit seolah mati berdiri. Berlumuran darah membasahi bantal seminggu tidak kesekolah tatkala hampir SPM. Tidak ingin saya menceritakan kisah silam 2009 dan 2010 tetapi kerana ini satu bukti, walau berat hati saya terpaksa menceritakan bagaimana sakitnya terjatuh pengsan dilantai kelas dan di kaki lima bangunan berkali-kali. Namun, rupa-rupanya dalam novel ini bercerita Tariq juga pernah sakit. Imam Hanafi dan Imam Hanbali turut juga merasakannya. Jadi, saya diajar bersabar, saya diajar bersyukur dan saya diajar tidak berputus asa. Saya malu pada diri yang sebelum ini sepi dari mengenali misteri langit dan bumi. Jika saya seorang peniaga, jika saya seorang jururtera, jika saya pembicara, jika saya seorang guru dimeja dan jika saya berbaring ditangga sekalipun sudah cukup para ulama’ yang diceritakan dalam novel ini disamping Al-Quran dan Hadis yang ada membuat saya sempurna. Siapa dia pemburu syahid? Bagaimana rupa perwatakan sahabat sejati Rasulullah? Bagaimana Perang Badar berlaku? Kenapa dunia menggegar nama Bilal? Novel ini segalanya yang menjawab pertanyaan saya. Dalam 21 matapelajaran yang dipelajari di sekolah ; benar, ada juga nama-nama tokoh dibaca tetapi bezanya setelah membaca novel ini dari buaian ke liang lahad diceritakan.

Hanya Allah yang tahu kegembiraan hati saya sewaktu kelahiran anak sulung bapa saudara saya dinamakan Muhammad Syafie bin Shaiful Bahri hanya kerana sebuah novel penulisan Abdul Latip Talib. Meski kini dia belum mengenal ABC, saya telah menghadiahkannya novel tersebut kerana mungkin suatu hari novel sebaik ini tidak dapat diperolehi lagi saat saya mati. Kesan kebahagiaan dan kesyukuran saya hari ini manalah kita tahu jika suatu hari dia mampu mewarisi peribadi mukmin yang dicintai Ilahi. Kita juga tidak tahu jika saat akhirat nanti mungkin Muhammad Syafie menangkat novel ini kepada Allah di hari perhitungan amalannya nanti. Saya tahu novel ini bukan cerita misteri dan bukan juga bicara fantasi. Disebabkan ia sebuah realitilah yang memberi kesan yang begitu positif dalam hidup saya sehinggakan penulisan karangan SPM saya mendapat markah tertinggi dan terpuji. Sengaja saya selitkan kata-kata tokoh yang dipetik dari halaman akhir novel bagi semua orang kenali indahnya peribadi tokoh sejarah Islam. Secara tidak langsung setelah pelajar lain diarah menyalin semula karangan saya, pahala ini dilimpahi pada penerbit dan penulis novel ini. Bermula disitulah sahabat dan guru mula memiliki banyak Novel Sejarah Islam. Pentingnya disini kami dapat merapatkan silaturrahim selain berkongsi.

Sekiranya ingin mengikut bahasa, semestinya tidak cukup disini untuk meluahkan rasa. Namun sedikit sebanyak tentang kebaikan dan pengajaran dari saya itu, sama-samalah kita contohi. Selagi kita punya daya, cuba-cubalah mendekatkan diri mengenali Allah dengan mengambil iktibar para ulama’ yang ada dicerita dalam novel ini. Tidak rugi kerana ianya sudah tersedia rapi cuma hati yang harus hadirkan diri untuk membacanya. Saya hanya seorang pelajar walau tidak mampu mengumpul wang memiliki kesemua novel tersebut, tetap juga saya cuba dapatkannya dari sahabat dan guru-guru sebelum membelinya sendiri. Secara tidak sengaja mereka merapatkan pehubungan dan persaudaraan yang menceriakan jiwa saya. Lagipun dalam memegang amanah sebagai Pengerusi Kelab Tarannum, ketua kelas, Pustakawan Sekolah dan Pengerusi Kelab Nasyid serta Setiausaha Unit Tugas Khas itu memang teruji namun Allah tidak terlupa mendidik saya dengan menghadirkan rasa cinta dan rindu untuk menemui para ulama’ di syurga sana agar diri saya dicintai Ilahi kelak. Setelah setahun belajar, walau saya mendapat sijil kelulusan, saya meredhai kegagalan satu matapelajaran Hadis Mustolah daripada 16 matapelajaran arab yang lain dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia membuatkan saya tergendala selama setahun bagi mengulang semula satu subjek untuk memasuki pengajian tinggi. Mengapa saya masih gembira dan bahagia? Kerana adanya novel sebaik ini.

SAUDARA SEPERJUANGAN, mohon aminkan doa saya :

“ Ya Allah, bantulah kami dalam segala urusan kami, selamatkanlah kami dalam segala ujian yang Kau beri, hindarkan kami dari mimpi yang tidak berguna, peliharalah kami dengan jalan yang Kau ingini. Ya Rahman Engkaulah Pengasih, Engkau juga Maha Menyayangi. Rezekiku, hidupku, matiku dan takdirku adalah ketentuanMu. Maka segalanya aku berharap kesempurnaan dariMu. Ya Allah, kau redhai dan kau rahmatilah Abdul Latip Talib serta keturunannya, kerana dari dia kami mendekatiMu. Sihat dan sejahterakanlah kepada kami demi menghidupkan agamaMu. Peliharalah syarikat PTS Litera Utama dari keruntuhan, kemusnahan dan gangguan Syaitan. Selagi ia berlandaskan Islam, maka Kau permudahkanlah segala urusannya. DemiMu ya Allah.. Satukanlah hati kami dan moga-moga kami ditempatkan di Syurga sana. Aminn…”





No comments:

Post a Comment