Dato Haji Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Nil mengadakan pertandingan MINGGU THROWBACK di Instagram secara terbuka kepada seluruh rakyat malaysia. Dalam pertandingan tersebut, penyertaan akan dinilai melalui gambar dan penulisan kenangan peserta di #minggutb. Lebih kurang 300 peserta/gambar/penulisan dipertandingkan. Dalam pertandingan tersebut, salah seorang peserta akan menerima hadiah iPhone 6 dari Pak Nil. Syukur, rezeki kali ini bertempat pada saya dengan usaha dan doa berterusan. Disini saya kongsikan gambar dan video serta penulisan yang saya sertai.
____________________________________________________________________________
|
Selama 5 bulan saya bekerja di KFC tahun ini bukan mudah walau senang dilihat. Seorang diri dari kampung, saya sewa sebuah bilik yang asalnya sebuah dapur lalu dijadikan bilik. Berjalan dan menunggu bas selama sejam perjalanan untuk tiba di tempat kerja setiap hari.
Didalam bilik saya cuma ada barangan asas seperti air mineral, sebiji bantal, tikar, pakaian dan Al-Quran. Cukup sedih setiap hari jam 12 malam saya dirumah kelaparan. Bertahan juga menunggu makanan percuma ditempat kerja. Tiga kilogram berat badan menurun. Apabila orang kampung bertanya, saya dengan nada gembira katakan saya disini sangat selesa dan cukup lengkap semuanya senang. Tekad dihati, "aku mesti belajar berdikari". Tiba suatu masa, mendengar cerita saya adik-adik teruja untuk datang 'bercuti' bersama. "Ingatkan ada aircond dan wifi" kata adik lelaki saya. Hilang kata-kata. Dalam diam saya rasa bersedih kerana dari jauh adik datang untuk meluangkan masa cuti sekolah, saya berhenti kerja berkebetulan sudah merancangnya untuk henti, lalu kami empat beradik ke Sunway Lagoon.. Disini mereka bertiga mendapat pengalaman dan mungkin apabila besar kami akan ulang untuk bercerita kembali..
|
Mengenang kembali KEBAKARAN RUMAH datuk pada tahun 2010.
Sedih dan hiba tidak terkata, kehilangan seribu kenangan. Bayangkan, walaupun teratak penghulu kampung ini tidak semewah rumah lain, namun rumah inilah saya dibesarkan, rumah inilah tempat utama berkumpul bagi seluruh penduduk kampung dan keluarga serta orang luar datang berurut dengan datuk.
Rumah hasil binaan datuk sendiri ini didindingnya dipenuhi ukiran lukisan pemandangan dilukisnya. Berkecai runtuhnya hati apabila melihat orang kampung juga wartawan akhbar datang menangis dihadapan kejadian tersebut. Apapun, dengan peristiwa ini jugalah menguraikan erti perpaduan dan kebahagiaan.
Semoga hati sentiasa berbahagia dengan rasa kesyukuran 😃 #MingguTB #paknil
|
SERBA RASA apabila membaca kembali surat-surat diterima zaman sekolah dahulu. Lucu. Terharu. Dihargai. Paling menyentuh perasaan, salah satu dari surat-surat tersebut adalah pemberian daripada ibu sewaktu dia dihidapi sakit kanser tahap 4 ( 2011 ). Di tulisannya berupa doa dan pengharapan terakhir. Pesan ibu, simpan suratnya sehingga saya besar dan bekerja kelak. Lantas saya kehadapan tikar ibu, lihat air matanya tidak henti menitis namun tidak kuat untuk berbicara.
Siapa tahu kuasa Allah, nenek yang tiada demam tiada sakit dijemput Allah dahulu saat menjaga ibu sakit. Siapa tahu juga ibu yang sakit tenat, hari ini disembuhkan Allah tanpa sedikitpun kesan yang tertinggal dari penyakitnya sebelum ini. Kata ibu, di waktu sakit, dia berdoa agar disembuhkan kembali hanya kerana untuk menjaga anaknya lapan orang ini. Alhamdulillah, ibu masih ceria dan aktif mengajar di sekolah sehingga hari ini.
#MingguTB #paknil @aznilnawawihm
|
TAKKAN AKU LUPA KENANGAN INI. ( 2014 )
Tiba-tiba lalu di depan saya membawa dua orang anak. Saya kejar dia menjauh sambil meneruskan perjalanan. Akhirnya saya halang dan bertanya apa masalahnya sehinggakan jam 1:00pagi sanggup membawa beg besar dan anak-anak kecil sebegini. Menangisnya tanpa henti tetapi tidak mahu membuka cerita. Satu persatu perkataan terus terbuka cerita. "Akak ada masalah dengan suami akak ye?" saya tanya.
Bukan mahu masuk campur hal dalaman cuma ingin menyelesaikan. Seorang demi seorang datang dan akhirnya datang suaminya. Sayu melihat wajah suaminya, baik dan beradab masih menjaga keadaan agar tidak terbuka aib sesiapa. Saya pun kesian dengan isterinya juga bukanlah ada perangai cuma mungkin Allah menduga mereka kali ini.
Di tengah jalan suaminya menitis air mata meluahkan seperti tiada arah lagi. Saya dukung anaknya yang kemas menggenggam tangan saya. Jam 3:00pagi barulah selesai kes setelah suaminya menghantar ke rumah kawan baiknya. Semoga Allah menjaga hati si suami dan isteri serta anak-anak, baik akhlak, baik kesihatan, baik budi dan baik segalanya.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm
(VIDEO) TIADALAH hari seindah AIDILFITRI.
Bilamana waktu dukamu datang, kenangkan kembali waktu bersama.. Percayalah bahawa kita tidak pernah bersendirian.. 29 JULAI 2014 #MingguTB #paknil@aznilnawawihm
|
Throwback 2014 with MY FAMILY.. Waktu dihadapan kamera, semuanya mengukir senyuman dengan indah tawanya.. Akan tetapi, bagaimana jika salah seorang daripadanya meninggalkan kami semua suatu hari nanti?
Gambar inilah mengingatkan kembali bahkan menjadi bukti kebersamaan kami di hari mendatang kelak.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm
|
|
THROWBACK pengalaman di awal tahun 2014 mendaki puncak Pantai Kuala Abang, Terengganu.. Hanya di Malaysia tanah air kita. Untuk mendapatkan pemandangan dan gambar sebegini, saya harus menaiki puncak batu setinggi bangunan tiga tingkat. Lihat, ada seorang lelaki dibawah sana kelihatan seperti sebesar semut. Hihhi.. Oh tidak! Bertahan dari menjenguk ke bawah untuk mengelakkan rasa gerun. Wahh.. Nyaman, bebas dan menenangkan.
#MingguTB #paknil @aznilnawawihm
|
|
THROWBACK KELAHIRAN 1994-2014.
Hai kawan, jangan malu untuk bertanya kembali pada ibu ayahmu tentang asal usulmu. Nescaya kau akan tahu betapa bernilainya orang tua serta kehidupanmu kini. Sewaktu dalam kandungan, bapa saya baru sahaja berhijrah keluar Malaysia. Tatkala ibu teruja untuk memberitahu berita kepada ibu mertuanya bahawa dia hamil, perasaan berubah gundah seusai melihat ibu mertuanya meninggal dunia.
Gambar semasa berusia 3 bulan berkulit hitam bukan kerana tiada kamera 360. Hihhi.. Menariknya, kecil-kecil dulu ibu selalu meletakkan duit syiling 5sen di permukaan pusat. Petua orang arab lagi, kening akan diukir dengan celak. Datuk lagi macam-macam, ditekankan jarinya ke lelangit; katanya untuk menaikkan batang hidung. Seingat saya lagi, bapa saudara selalu mencabut gigi menggunakan benang dan saya tidak pernah dihantar ke klinik seusia itu. Hihihi.. Siapa pernah ada pengalaman meletakkan pepatung di pusat? Hahha.. Kena gigit.. #MingguTB#paknil
|
|
1 JUN 2013.
Pada pandangan mata kasar, ia cuma sebuah gambar yang dianggap suatu kenangan. Hakikatnya apabila mendalami wajah satu persatu kedalam matanya, gambar ini adakalanya menjadi pemujuk dikala saya kegelisahan, peneman di waktu kesunyian. Ternyata adik-adik ini masih lagi seperti dahulu yang mesra dan suka bermanja dalam kehidupan saya. Semoga besar nanti, mereka menjadi penghibur semua orang dan berbakti kepada seluruh orang dalam hayatnya.
#MingguTB #paknil
|
|
2 JANUARI 1990, KAHERAH, MESIR.
Gambar ayah yang paling bernilai sewaktu berada di Kaherah, Mesir. Tahun pertama perkahwinan berumah disana.
Tentang gambar ini, ayah terpaksa disoal jawab semasa pemprosesan membuat passport disebabkan mempunyai jambang di mukanya disyaki bukan warganegara Malaysia, lalu dipotong terhasillah seperti di dalam gambar ini. ........................................................................................Kisah benar berlaku di sebuah kedai arab: Saat itu umie dan baba di awal perkahwinan berjalan ke kedai. Pak arab menegur bahawa cincin baba sangat cantik. Lalu, dimintanya untuk lihat. Terus pak arab merebut dan tidak mahu kembalikan semula. Bertolak tarik, akhirnya cincin tersebut dimasuk kedalam mulutnya lantas ditelannya. Aduhai pak arab.. #MingguTB #paknil
|
VIDEO: IMBASAN KESELURUHAN GAMBAR-GAMBAR THROWBACK.
Semoga bermanfaat bagi kita semua dengan segala cerita disebalik gambar yang saya kongsikan. Ia mungkin bukan yang terbaik. Cuma harapan saya, sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi rasa.
Mohon maafkan saya seandainya @aznilnawawihmserta sesiapa sahaja yang kurang senang atau salah laku saya selama seminggu saya bersama kalian.
Tercetusnya pertandingan ini ada kalah menang, apapun ia tetap menghasilkan suatu kenangan baik bilamana jatuh bangkitnya perjalanan hidup dimemorikan disini. Teruskan senyum dan senyumlah. Silakan ikuti saya di instagram@ahmadiqbalzulkefli . Terima kasih.
#MingguTB #paknil
|
Selepas tamat persekolahan 2013, Saya bertekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur melatih diri berdikari. Menyewa bilik kecil yang asalnya sebuah dapur. Selama 5 bulan saya bekerja di KFC dengan menaiki bas selama 40 minit perjalanan ke tempat kerja. Pada masa dan hari yang sama, saya juga bekerja sebagai jurugambar di kedai barangan inggeris. Apabila ditanya keluarga dan orang di kampung, saya dengan nada gembira katakan bahawa keadaan saya sangat selesa; padahal waktu itu banyak cabaran menguji satu persatu. Setelah berhenti kerja di KFC untuk memberi tumpuan kepada adik-adik datang dari kampung, saya memilih kerja di MCDonald. Kenapa? Saya minat sesuatu yang berdepan dengan masyarakat ramai.
Sehinggalah saya kenal ramai orang, ternyata kesabaran di disebalik kepayahan memberi hasil. Sesuatu yang tidak pernah dijangka. Mendapat kerja yang lagi baik. 22 Februari 2015 saya menyambung pelajaran program diploma penulisan di ASWARA. Doakan semuanya baik-baik sahaja.. #MingguTB#mingguthrowback #hotfm976 #HotFMBelanjaSaya
|
|
TERIMA KASIH PAK NIL, TERIMA KASIH SEMUA.
Sejujurnya, saya rasa serba salah terhadap Pak Nil dan seluruh masyarakat. Padahal ia cuma gambar dan ungkapan kata, ia dapat menggandakan kepada sebuah hadiah iPhone 6 yang tidak mungkin saya terbeli.
Saya mengerti ada yang berusaha, namun tidak memenangi namun pastinya saya tidak mahu kita semua patah hati. Saya sudah berkali dibawah, bukan hanya di pertandingan bahkan menggagah untuk melangkah hidup. Bagi saya, berusaha berterusan itulah suatu kemenanganmu. Kamu semua sahabat saya. Mohon maafkan saya atas kemenangan ini. Sebesar mana degupan saya di waktu kegembiraan hari ini, sekencang ini juga cabaran dilalui setiap tahap saya jejaki.
Buat seluruh masyarakat yang membaca ini saya hormati; saya selalu ingatkan diri saat hati mula alpa: walau apapun agamamu, walau sepanjang mana perjalananmu, walau sebesar mana dosamu, walau setinggi bahkan dilubuk terpencil kamu berada, LETAKKAN IBU DAN AYAHMU NOMBOR SATU, orang tua-tua dihormati, anak kecil disayangi. Melalui mereka ini, segala hal dipelajari. Jika sahabat semua ada perkongsian atau pesanan kepada saya, silakan.. Terima kasih Pak Nil, Terima kasih semua. Jumpa lagi! #MingguTB #paknil#aznilnawawihm #aswara @aznilnawawihm Salam hormat daripada saya: Ahmad Iqbal Zulkefli.
|
No comments:
Post a Comment