Saturday, May 30, 2015

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM 31 MEI 2015 - AHMAD IQBAL ZULKEFLI

PERADUAN ULASAN BUKU ITBM(31 MEI 2015)

TAJUK BUKU : Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN (Adnie Bahiah)

NAMA PESERTA : AHMAD IQBAL BIN ZULKEFLI

NOMBOR KAD PENGENALAN : 940912-03-****

E-MEL : ahmadiqbalzulkefli@gmail.com

FACEBOOK : Ahmad Iqbal Zulkefli


Bismillahirrahmanirrahim..

Benarkah saudara, kata orang zaman remaja merupakan saat yang paling berharga dalam usia kita?  Kegelisahan dan keterujaan dalam hati yang diisi suka duka sebuah perjalanan seorang remaja yang penuh cerita rahsia demi menjadi manusia yang berguna. Adakah mutiara yang dicipta atau sekadar bara kepanasan menghasilkan debu penyesalan? Inilah CERITA LIMA BULAN sebuah buku nukilan Adnie Bahiah anak jati Kelantan, lahir pada 14 Julai 1990 kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Buku ini merupakan kumpulan puisi remaja 62 halaman terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) saya merasakan amat bermanfaat dibaca oleh seluruh remaja bahkan sesuai untuk sesiapa sahaja penggemar puisi. Ketika kita dalam kedukaan, ia seolah-olah memanggil lantas berbisik “sabarlah.. sekejap sahaja. Kau harus lalui dengan gembira”. Bagi yang berputus asa, puisinya hadir dan memujuk hati “bangkitlah kembali, air matamu hanyalah mimpi sedetik”. Bagi yang bercinta, teguh bicaranya pada telinga “berpeganglah pada urat nadi kepatuhan terhadap Ilahi, ia kan bersemi”. Sesekali penulis juga berasa sedih dan hampa dengan hakikat kepayahan hidup sebagai remaja bahkan beliau sendiri bertemankan titisan air yang mengalir pergi. Hari beralih hari, bulan diganti bulan maka lahirlah setiap bait puisi yang teguh berprinsip jati diri mendidik jiwa bangkit dari mimpi ke landasan realiti.

Sepertinya penulis mengerti akan pahit getir seseorang remaja meniti perjalanan menantikan kedewasaan memimpin kita. Sesiapapun pasti teruja jika membuka halaman 10, penulis ada berkata dalam puisinya :

“Aku hanya pelarian hati
Seperti pungguk rindukan bulan
Menunggu jawapan untuk esok
Mencari erti kehidupan hakiki.”

Saya dapat merasai penulis ingin menyatakan bahawa kita sebagai manusia, hati kecil ini diumpakan seperti pelarian kerinduan yang sentiasa berlari mencari Penciptanya Ilahi sehinggalah berhenti di syurgawi nanti. Penulis mempersembahkan nilai kecintaan terhadap Ilahi sangat saya kagumi. Bagi sesiapa yang mendalami Puisi berjudul Pelarian Hati karya Adnie Bahiah ini pasti mengingati tentang kita. Tentang kita yang menempuhi usia remaja yang bernoda kelunturan iman di kekacauan rasa risau dan berharap menemukan kehidupan yang bahagia.



Penulis Adnie Bahiah kali ini bangkit menerbitkan sebuah puisi bertemakan perasan sebuah cinta bagi riwayat seorang remaja. ‘Tafsir Sebuah Cinta’. Beliau ternyata fasih dengan jiwa remaja yang sering bermimpi dengan cinta. Katanya, cinta ibarat mimpi yang sungguh indah dan mempunyai berjuta rasa. Bererti tatkala ada bersama dan masih bermakna walau berpisah. Lantas, katanya itulah sebuah kehidupan fantasi tiada arah bagi remaja yang terlena. Saya sebenarnya tertarik dengan bait kata dan gaya bahasanya yang berpuitis namun penulis tetap menguasai teknik penyampaian terhadap minda pembacanya. Tidak terlalu rendah. Tidak juga terlalu tinggi bait yang diperhiaskan membuatkan pembaca terbawa-bawa dengan hidangan karyanya yang berjasa. Berpandukan pada puisi ‘Tafsir Sebuah Cinta’, saya  terdetik ingin memaparkan penulisannya pada kajian ini :

“Sebenarnya itu bukan cinta
Cuma gelora rasa
Yang penuh madah pujangga
Ombak yang menghanyutkan khayalan sebentar
Membuat jiwa gelisah menjadi tenang”

Kadang-kala saya berkata pada hati, kenapalah buku Kumpulan Puisi Remaja CERITA LIMA BULAN karya Adnie Bahiah ini baru muncul pada saya. Mengapa tidak sewaktu saya awal-awal meningkat usia dahulu yang bercelaruan mencari arah dan makna kehidupan remaja. Namun, pagi yang senja ini saya gembira dengan adanya CERITA LIMA BULAN yang mengajarkan saya erti kesabaran dan kekuatan. Halaman 57, puisi Segundah Langit Cinta pernah berpesan kepada saya supaya tepiskan segala kedukaan. Katanya, “Usah khuatir langit duka, Esok bukalah luas mata”. Kala hati mulai berputus harap, puisi Segera Bimbang hadir beralun “Segera usahlah engkau pasrah, Ada syair yang aku gubah”. Saat gundah mulai singgah, munculah ia berdoa dalam puisi Antara Sejuta Rindu Abadi dengan madah “Hanya sejuta rindu abadi, Mencatat setulus doa buatmu”. Buku ini mendidik erti kasih, memberi makna sayang. Buku ini mencungkil kesombongan jijik, mengukir perasaan baik. Buku ini menghapuskan syaitan pengkhianat, mencintai tuhan ke akhirat.

Meskipun ia cuma titisan dakwat dari pena, ia  bukan semata-mata sebuah karya yang beruntaian kata-kata atau cerita khayalan. Ada suatu malam, saya terbuka buku ini pada halaman 33. Padanya ada tertulis sebuah puisi berjudul ‘Esok, Lusa dan Minggu Depan’. Dalam hati berkata, “Ya Allah, betapa hina hamba-Mu hidup tanpa arah tujuan”. Puisi ini memberi kesedaran agar manusia harus teguhkan iman, mantapkan rohani, tabah dan berani menjalani hari. Saya pun tidak sangka Allah menggerakkan pintu hati saya melalui puisi cetusan CERITA LIMA BULAN ini. Saya fikir, mungkin penulis sudah lama berdoa dan berharap agar ilmunya dapat menghiasi hati yang letih. Seandainya saya diberikan peluang, mahu saja saya berdiri di mimbar padang luas sambil mengangkat buku ini berulang kali melontarkan suara “Hiduplah hati wahai saudaraku semua.. Bacalah.. Bacalah.. Bacalah.. Tuhanmu sentiasa ada”.

Saudara, jika kamu bersua dengan penulis ini, sampaikan salam saya kepadanya dan katakan sahaja: “Terima kasih kerana melahirkan karya yang mendidik hatiku bertasbih pada Ilahi. Terima kasih kerana memahami nilai diri seorang remaja yang kesepian dihantui kegelisahan. Kerana jasa perjuanganmu, semalam Allah hadir mengetuk pintu hatiku dan Dia ada berkata kita harus bersatu membina sebuah negara yang bahagia. Benarkah saudara apa yang aku fahami dalam puisimu senja tadi, kau mahu seluruh jiwa berjiwa merdeka? Kau telah berjaya. Apa benar, kau pernah berhasrat keajaiban Allah akan tiba memimpin perjalanan kita ke syurga? Oh ya.. aku juga mendoakan yang sama. Amin..” Semoga setiap butiran kata itu merupakan harta buatmu saudara Adnie Bahiah yang akan mengalir di jasad dan nyawa sehingga berjaya selama-lamanya. Terima kasih saya hamparkan kepada ITBM kerana mewujudkan karya yang berguna. Baik dunia juga akhirat. Maafkan segala patah dan ungkapan saya berbicara, pasti ada silapnya. 

Astaghfirullahal azim..
Subahanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar..


Friday, May 29, 2015

PERTANDINGAN MULTIMEDIA INTERAKTIF PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2013

Saya mewakili SMU(A) Ismailiah Binjai Manis, Pasir Mas pada tahun 2013 menyertai pertandingan ini secara kebetulan sahaja pada mulanya. Mendapat johan peringkat daerah Pasir Mas, saya mengetuai kumpulan 5S Production (Syahmi, Syed Iqbal, Saiful, Syarafi) membentangkan hasil kerja dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Untuk pertandingan peringkat negeri yang dibentangkan pada Dewan Yayasan Islam Kelantan di hadapan ratusan pelajar seluruh Kelantan, akhirnya kami mendapat Naib Juara dalam pertandingan tersebut. Berikut adalah gambar dari hasil kerja saya sendiri.






PERTANDINGAN NASYID PERINGKAT NEGERI KELANTAN

Kumpulan gambar sewaktu saya menyertai kumpulan nasyid Nurul Huda di Maahad Muhammadi Pasir Mas, Kelantan.

JUARA NASYID PERINGKAT NEGERI KELANTAN 2012
ANJURAN MAJLIS ADAT DAN ISTIADAT NEGERI KELANTAN

PERSEMBAHAN NASYID SECARA LANGSUNG DI MAHABBAH IKIM.FM 2012

PERSEMBAHAN DAN RAKAMAN SECARA LANGSUNG KELANTANTV BERSAMA ALLAHYARHAM TOK GURU NEGERI KELANTAN.

BERSAMA DJ KAK SITI IKIM.FM DI PENTAS MAHABBAH IKIM.FM

AHLI NASYID KUMPULAN NURUL HUDA BERSAMA TENAGA PENGAJAR RUSLY AKADEMI AL-QURAN 2012

AHLI NASYID KUMPULAN NURUL HUDA BERSAMA TENAGA PENGAJAR RUSLY AKADEMI AL-QURAN 2012

JAMUAN MAKAN BERSAMA KUMPULAN NASYID NURUL HUDA 2012

PERTANDINGAN MINGGU #THROWBACK ANJURAN DATO HAJI AZNIL NAWAWI (12 MAC 2015)

Dato Haji Aznil Nawawi atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Nil mengadakan pertandingan MINGGU THROWBACK di Instagram secara terbuka kepada seluruh rakyat malaysia. Dalam pertandingan tersebut, penyertaan akan dinilai melalui gambar dan penulisan kenangan peserta di #minggutb. Lebih kurang 300 peserta/gambar/penulisan dipertandingkan. Dalam pertandingan tersebut, salah seorang peserta akan menerima hadiah iPhone 6 dari Pak Nil. Syukur, rezeki kali ini bertempat pada saya dengan usaha dan doa berterusan. Disini saya kongsikan gambar dan video serta penulisan yang saya sertai.




____________________________________________________________________________

            

Selama 5 bulan saya bekerja di KFC tahun ini bukan mudah walau senang dilihat. Seorang diri dari kampung, saya sewa sebuah bilik yang asalnya sebuah dapur lalu dijadikan bilik. Berjalan dan menunggu bas selama sejam perjalanan untuk tiba di tempat kerja setiap hari.

Didalam bilik saya cuma ada barangan asas seperti air mineral, sebiji bantal, tikar, pakaian dan Al-Quran. Cukup sedih setiap hari jam 12 malam saya dirumah kelaparan. Bertahan juga menunggu makanan percuma ditempat kerja. Tiga kilogram berat badan menurun. 
Apabila orang kampung bertanya, saya dengan nada gembira katakan saya disini sangat selesa dan cukup lengkap semuanya senang. Tekad dihati, "aku mesti belajar berdikari". Tiba suatu masa, mendengar cerita saya adik-adik teruja untuk datang 'bercuti' bersama. "Ingatkan ada aircond dan wifi" kata adik lelaki saya. Hilang kata-kata. Dalam diam saya rasa bersedih kerana dari jauh adik datang untuk meluangkan masa cuti sekolah, saya berhenti kerja berkebetulan sudah merancangnya untuk henti, lalu kami empat beradik ke Sunway Lagoon.. Disini mereka bertiga mendapat pengalaman dan mungkin apabila besar kami akan ulang untuk bercerita kembali..



                                                                                                   



Mengenang kembali KEBAKARAN RUMAH datuk pada tahun 2010.

Sedih dan hiba tidak terkata, kehilangan seribu kenangan. Bayangkan, walaupun teratak penghulu kampung ini tidak semewah rumah lain, namun rumah inilah saya dibesarkan, rumah inilah tempat utama berkumpul bagi seluruh penduduk kampung dan keluarga serta orang luar datang berurut dengan datuk.

Rumah hasil binaan datuk sendiri ini didindingnya dipenuhi ukiran lukisan pemandangan dilukisnya. Berkecai runtuhnya hati apabila melihat orang kampung juga wartawan akhbar datang menangis dihadapan kejadian tersebut. Apapun, dengan peristiwa ini jugalah menguraikan erti perpaduan dan kebahagiaan.

Semoga hati sentiasa berbahagia dengan rasa kesyukuran 😃 #MingguTB #paknil



SERBA RASA apabila membaca kembali surat-surat diterima zaman sekolah dahulu. Lucu. Terharu. Dihargai. Paling menyentuh perasaan, salah satu dari surat-surat tersebut adalah pemberian daripada ibu sewaktu dia dihidapi sakit kanser tahap 4 ( 2011 ). Di tulisannya berupa doa dan pengharapan terakhir. Pesan ibu, simpan suratnya sehingga saya besar dan bekerja kelak. Lantas saya kehadapan tikar ibu, lihat air matanya tidak henti menitis namun tidak kuat untuk berbicara.

Siapa tahu kuasa Allah, nenek yang tiada demam tiada sakit dijemput Allah dahulu saat menjaga ibu sakit. Siapa tahu juga ibu yang sakit tenat, hari ini disembuhkan Allah tanpa sedikitpun kesan yang tertinggal dari penyakitnya sebelum ini. Kata ibu, di waktu sakit, dia berdoa agar disembuhkan kembali hanya kerana untuk menjaga anaknya lapan orang ini. Alhamdulillah, ibu masih ceria dan aktif mengajar di sekolah sehingga hari ini.

#MingguTB #paknil @aznilnawawihm







TAKKAN AKU LUPA KENANGAN INI. ( 2014 ) 

Tiba-tiba lalu di depan saya membawa dua orang anak. Saya kejar dia menjauh sambil meneruskan perjalanan. Akhirnya saya halang dan bertanya apa masalahnya sehinggakan jam 1:00pagi sanggup membawa beg besar dan anak-anak kecil sebegini. Menangisnya tanpa henti tetapi tidak mahu membuka cerita. Satu persatu perkataan terus terbuka cerita. "Akak ada masalah dengan suami akak ye?" saya tanya. 
Bukan mahu masuk campur hal dalaman cuma ingin menyelesaikan. Seorang demi seorang datang dan akhirnya datang suaminya. Sayu melihat wajah suaminya, baik dan beradab masih menjaga keadaan agar tidak terbuka aib sesiapa. Saya pun kesian dengan isterinya juga bukanlah ada perangai cuma mungkin Allah menduga mereka kali ini. 


Di tengah jalan suaminya menitis air mata meluahkan seperti tiada arah lagi. Saya dukung anaknya yang kemas menggenggam tangan saya. Jam 3:00pagi barulah selesai kes setelah suaminya menghantar ke rumah kawan baiknya. Semoga Allah menjaga hati si suami dan isteri serta anak-anak, baik akhlak, baik kesihatan, baik budi dan baik segalanya.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm



(VIDEO) TIADALAH hari seindah AIDILFITRI.

Bilamana waktu dukamu datang, kenangkan kembali waktu bersama.. Percayalah bahawa kita tidak pernah bersendirian.. 29 JULAI 2014 #MingguTB #paknil@aznilnawawihm


Throwback 2014 with MY FAMILY.. Waktu dihadapan kamera, semuanya mengukir senyuman dengan indah tawanya.. Akan tetapi, bagaimana jika salah seorang daripadanya meninggalkan kami semua suatu hari nanti?

Gambar inilah mengingatkan kembali bahkan menjadi bukti kebersamaan kami di hari mendatang kelak.. #MingguTB #paknil @aznilnawawihm



THROWBACK pengalaman di awal tahun 2014 mendaki puncak Pantai Kuala Abang, Terengganu.. Hanya di Malaysia tanah air kita. Untuk mendapatkan pemandangan dan gambar sebegini, saya harus menaiki puncak batu setinggi bangunan tiga tingkat. Lihat, ada seorang lelaki dibawah sana kelihatan seperti sebesar semut. Hihhi.. Oh tidak! Bertahan dari menjenguk ke bawah untuk mengelakkan rasa gerun. Wahh.. Nyaman, bebas dan menenangkan.

#MingguTB #paknil @aznilnawawihm


THROWBACK KELAHIRAN 1994-2014.

Hai kawan, jangan malu untuk bertanya kembali pada ibu ayahmu tentang asal usulmu. Nescaya kau akan tahu betapa bernilainya orang tua serta kehidupanmu kini. Sewaktu dalam kandungan, bapa saya baru sahaja berhijrah keluar Malaysia. Tatkala ibu teruja untuk memberitahu berita kepada ibu mertuanya bahawa dia hamil, perasaan berubah gundah seusai melihat ibu mertuanya meninggal dunia.

Gambar semasa berusia 3 bulan berkulit hitam bukan kerana tiada kamera 360. Hihhi.. Menariknya, kecil-kecil dulu ibu selalu meletakkan duit syiling 5sen di permukaan pusat. Petua orang arab lagi, kening akan diukir dengan celak. Datuk lagi macam-macam, ditekankan jarinya ke lelangit; katanya untuk menaikkan batang hidung. Seingat saya lagi, bapa saudara selalu mencabut gigi menggunakan benang dan saya tidak pernah dihantar ke klinik seusia itu. Hihihi.. Siapa pernah ada pengalaman meletakkan pepatung di pusat? Hahha.. Kena gigit.. #MingguTB#paknil


1 JUN 2013.

Pada pandangan mata kasar, ia cuma sebuah gambar yang dianggap suatu kenangan. Hakikatnya apabila mendalami wajah satu persatu kedalam matanya, gambar ini adakalanya menjadi pemujuk dikala saya kegelisahan, peneman di waktu kesunyian. Ternyata adik-adik ini masih lagi seperti dahulu yang mesra dan suka bermanja dalam kehidupan saya. 
Semoga besar nanti, mereka menjadi penghibur semua orang dan berbakti kepada seluruh orang dalam hayatnya.

#MingguTB #paknil


2 JANUARI 1990, KAHERAH, MESIR.

Gambar ayah yang paling bernilai sewaktu berada di Kaherah, Mesir. Tahun pertama perkahwinan berumah disana.

Tentang gambar ini, ayah terpaksa disoal jawab semasa pemprosesan membuat passport disebabkan mempunyai jambang di mukanya disyaki bukan warganegara Malaysia, lalu dipotong terhasillah seperti di dalam gambar ini. ........................................................................................Kisah benar berlaku di sebuah kedai arab: Saat itu umie dan baba di awal perkahwinan berjalan ke kedai. Pak arab menegur bahawa cincin baba sangat cantik. Lalu, dimintanya untuk lihat. Terus pak arab merebut dan tidak mahu kembalikan semula. Bertolak tarik, akhirnya cincin tersebut dimasuk kedalam mulutnya lantas ditelannya. Aduhai pak arab.. #MingguTB #paknil


VIDEO: IMBASAN KESELURUHAN GAMBAR-GAMBAR THROWBACK.

Semoga bermanfaat bagi kita semua dengan segala cerita disebalik gambar yang saya kongsikan. Ia mungkin bukan yang terbaik. Cuma harapan saya, sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi rasa.

Mohon maafkan saya seandainya @aznilnawawihmserta sesiapa sahaja yang kurang senang atau salah laku saya selama seminggu saya bersama kalian. 
Tercetusnya pertandingan ini ada kalah menang, apapun ia tetap menghasilkan suatu kenangan baik bilamana jatuh bangkitnya perjalanan hidup dimemorikan disini. Teruskan senyum dan senyumlah. Silakan ikuti saya di instagram@ahmadiqbalzulkefli . Terima kasih.

#MingguTB #paknil


Selepas tamat persekolahan 2013,
Saya bertekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur melatih diri berdikari. Menyewa bilik kecil yang asalnya sebuah dapur. Selama 5 bulan saya bekerja di KFC dengan menaiki bas selama 40 minit perjalanan ke tempat kerja. Pada masa dan hari yang sama, saya juga bekerja sebagai jurugambar di kedai barangan inggeris. 
Apabila ditanya keluarga dan orang di kampung, saya dengan nada gembira katakan bahawa keadaan saya sangat selesa; padahal waktu itu banyak cabaran menguji satu persatu. Setelah berhenti kerja di KFC untuk memberi tumpuan kepada adik-adik datang dari kampung, saya memilih kerja di MCDonald. Kenapa? Saya minat sesuatu yang berdepan dengan masyarakat ramai.

Sehinggalah saya kenal ramai orang, ternyata kesabaran di disebalik kepayahan memberi hasil. Sesuatu yang tidak pernah dijangka. Mendapat kerja yang lagi baik. 22 Februari 2015 saya menyambung pelajaran program diploma penulisan di ASWARA. Doakan semuanya baik-baik sahaja.. #MingguTB#mingguthrowback #hotfm976 #HotFMBelanjaSaya


TERIMA KASIH PAK NIL, TERIMA KASIH SEMUA.

Sejujurnya, saya rasa serba salah terhadap Pak Nil dan seluruh masyarakat. Padahal ia cuma gambar dan ungkapan kata, ia dapat menggandakan kepada sebuah hadiah iPhone 6 yang tidak mungkin saya terbeli.

Saya mengerti ada yang berusaha, namun tidak memenangi namun pastinya saya tidak mahu kita semua patah hati. Saya sudah berkali dibawah, bukan hanya di pertandingan bahkan menggagah untuk melangkah hidup. Bagi saya, berusaha berterusan itulah suatu kemenanganmu. Kamu semua sahabat saya. Mohon maafkan saya atas kemenangan ini. Sebesar mana degupan saya di waktu kegembiraan hari ini, sekencang ini juga cabaran dilalui setiap tahap saya jejaki.

Buat seluruh masyarakat yang membaca ini saya hormati; saya selalu ingatkan diri saat hati mula alpa: walau apapun agamamu, walau sepanjang mana perjalananmu, walau sebesar mana dosamu, walau setinggi bahkan dilubuk terpencil kamu berada, LETAKKAN IBU DAN AYAHMU NOMBOR SATU, orang tua-tua dihormati, anak kecil disayangi. Melalui mereka ini, segala hal dipelajari. Jika sahabat semua ada perkongsian atau pesanan kepada saya, silakan.. Terima kasih Pak Nil, Terima kasih semua. Jumpa lagi! #MingguTB #paknil#aznilnawawihm #aswara @aznilnawawihm 
Salam hormat daripada saya: Ahmad Iqbal Zulkefli.



PERTANDINGAN MENULIS ANJURAN ABDUL LATIP TALIB (25 FEBRUARI 2013)

PERTANDINGAN MENULIS ANJURAN ABDUL LATIP TALIB
 ( PENULIS NOVEL SEJARAH ISLAM NO.1 MALAYSIA ) 2013.
PENYERTAAN TERBUKA KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA, INDONESIA, SINGAPURA DAN BRUNEI.


PEMENANG UTAMA
PESERTA 40 : AHMAD IQBAL BIN ZULKEFLI
 ( 940912-03-****), MALAYSIA.
PELAJAR MAAHAD MUHAMMADI PASIR MAS

KESAN KE ATAS DIRI SAYA SETELAH MEMBACA NOVEL SEJARAH ISLAM :
MERASA SEOLAH MATI HIDUP KEMBALI

Sebelum membacanya, tenangkan fikiran dan mulakanlah dengan “Bismillahirrahmanirrahim”.. Alhamdulillah..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Jika buku lain mengajar saya berfikir, novel ini telah membuktikan saya dengan kejayaan. Jika buku lain mendidik saya mendekati Allah, namun novel ini membawa saya sujud mengabdi terhadap Ilahi. Itulah yang saya rasakan setelah ditemani Novel Sejarah Islam yang dikarang oleh Abdul Latip Talib; idola yang saya hormati dan kian lama dirindui untuk didekati. Ternyata benar kata sahabat dan saudara diluar sana mengenai novel ini sehingga setelah membacanya saya merasakan seolah mati hidup kembali. Dari yang pahit menjadi manis. Dari yang jahil menjadi arif. Dari lemah berubah gagah. Dari keegoan merendah diri. Rupa-rupanya sebelum ini tidak saya sedari bagaimana bisa terjadi kewujudan Islam dimuka bumi ini. Novel inilah yang membuatkan saya mengerti tentang sebuah kehidupan yang sebenar-benarnya kehidupan. Hadirnya saya bukan untuk menang bicara dan bukan juga ingin bercerita tetapi untuk kita bersama mengambil pengajaran selagi masih bernafas dalam arus dunia. Saya bukan seorang pahlawan perkasa malah mungkin saya lebih hina dari saudara tetapi begitu berkuasa Novel Sejarah Islam ini menyinari cahaya jiwa saya.

Saudara yang saya hormati,

Sungguh. Pedih yang saya rasakan ketika ibu menghidapi kanser payudara tahap ketiga. Salah satu penyakit yang paling merbahaya didunia bagi wanita. Belum sempat mentari pagi menyinari bumi, tangisan sakit ibu saya telahpun berbunyi memanggil supaya diusung kebilik air untuk berwuduk. Hari beralih hari selama enam bulan kesedihan dirasai. Cuba lihat; ketika itu juga, mungkin kita fikir ia adalah kebetulan tetapi ia disengajakan oleh Allah menghadirkan beberapa buah Novel Sejarah Islam kepada saya. Saya dapati novel inilah yang mengajar saya berani menempuhi hari, mendidik hati supaya tabah dan yakin akan Allah itu diriNya Maha Adil dan Maha Mengasihani. Walaupun nenek dijemput Ilahi meninggalkan kami sekeluarga tatkala menemani ibu sakit, tidak saya lupa akan kisah pada halaman 241 di dalam novel Imam Syafie Pejuang Kebenaran bagaimana sabarnya Imam Syafie menahan sakit buasir berdarah sehingga kasutnya dibasahi darah sewaktu menunggang kuda. Namun berkat doa dan kesabaran, kini ibu kembali sihat dan mampu memandu keretanya pergi mengajar disekolah seperti tiada apa yang berlaku sebelum ini. Itu kuasa Allah walau dengan hanya helaian kertas dinovel pun Ia boleh mendidik. Mungkin kerana gaya bahasa dan jalan penceritaannya yang menarik. Mungkin juga kerana berkat usaha Abdul Latip Talib berpijak kaki ke tanah luar mencari ilmu sejarah demi menyampaikan dakwahnya.

Setelah seorang demi seorang ulama’ yang saya kenali melalui novel ini, saya dapat tahu ternyata kecintaan para ulama’ terhadap Allah terbukti bercahaya sehinggakan ia dapat menguasai jiwa saya sewaktu membuat persembahan nasyid dikhalayak ramai. Saya mula berfikir sedangkan Salahudin al-Ayubi sudah berpenat lelah mempertahankan bumi ini, apa harus saya melupakan kisah sejarahnya? Begitu sedih pada pagi Ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah sewaktu Umar al-Khattab menghadapi mati. Lalu saya fikir, “ Adakah harus aku gugurkan bumi setelah seorang ulama’ bermandikan darah mempertahankan agama dan hariku yang sehingga kini masih lagi dapatku berdiri?” Itulah persoalan yang bermain diminda setelah mengenal erti kepayahan dan keperitan perjuangan seorang ulama’. Setelah memahami, jelas sekali Allah membuka pintu hati ketika saya mengadakan setiap persembahan nasyid. Jika dahulu mereka bersenjatakan pedang tetapi kini berjuang dengan suara dan perasaan yang saya alunkan demi menyampaikan ajaran; Allah mempermudahkan saya dengan kemenangan tempat pertama di peringkat negeri Kelantan yang disertai 16 buah daerah. Lirik itu menjadi misteri seperti wujud satu rohani. Saya sebagai pengerusi kumpulan nasyid pada waktu itu dipermudahkan segala urusan setelah mengambil iktibar berwawasan para pejuang Allah seperti Ikramah Si Penentang Jadi Pembela, Ali bin Abu Talib sebagai Mutiara Ilmu Islam dan empat orang imam zaman Bani Abbasiyah mewarnai pelangi kehidupan saya sehingga dijemput ke siaran TV IKIM.fm dan KELANTAN.tv untuk membuat persembahan.

Jika saudara disana merasakan letih diuji, saya juga perit. Tetapi itu sebelum saya mengenali novel ini. Tidak hairan saya boleh menjadi berani kerana saya tahu Ikramah itu dari penentang berubah menjadi pembela agama. Ketika berumur 17, saya pernah sakit seolah mati berdiri. Berlumuran darah membasahi bantal seminggu tidak kesekolah tatkala hampir SPM. Tidak ingin saya menceritakan kisah silam 2009 dan 2010 tetapi kerana ini satu bukti, walau berat hati saya terpaksa menceritakan bagaimana sakitnya terjatuh pengsan dilantai kelas dan di kaki lima bangunan berkali-kali. Namun, rupa-rupanya dalam novel ini bercerita Tariq juga pernah sakit. Imam Hanafi dan Imam Hanbali turut juga merasakannya. Jadi, saya diajar bersabar, saya diajar bersyukur dan saya diajar tidak berputus asa. Saya malu pada diri yang sebelum ini sepi dari mengenali misteri langit dan bumi. Jika saya seorang peniaga, jika saya seorang jururtera, jika saya pembicara, jika saya seorang guru dimeja dan jika saya berbaring ditangga sekalipun sudah cukup para ulama’ yang diceritakan dalam novel ini disamping Al-Quran dan Hadis yang ada membuat saya sempurna. Siapa dia pemburu syahid? Bagaimana rupa perwatakan sahabat sejati Rasulullah? Bagaimana Perang Badar berlaku? Kenapa dunia menggegar nama Bilal? Novel ini segalanya yang menjawab pertanyaan saya. Dalam 21 matapelajaran yang dipelajari di sekolah ; benar, ada juga nama-nama tokoh dibaca tetapi bezanya setelah membaca novel ini dari buaian ke liang lahad diceritakan.

Hanya Allah yang tahu kegembiraan hati saya sewaktu kelahiran anak sulung bapa saudara saya dinamakan Muhammad Syafie bin Shaiful Bahri hanya kerana sebuah novel penulisan Abdul Latip Talib. Meski kini dia belum mengenal ABC, saya telah menghadiahkannya novel tersebut kerana mungkin suatu hari novel sebaik ini tidak dapat diperolehi lagi saat saya mati. Kesan kebahagiaan dan kesyukuran saya hari ini manalah kita tahu jika suatu hari dia mampu mewarisi peribadi mukmin yang dicintai Ilahi. Kita juga tidak tahu jika saat akhirat nanti mungkin Muhammad Syafie menangkat novel ini kepada Allah di hari perhitungan amalannya nanti. Saya tahu novel ini bukan cerita misteri dan bukan juga bicara fantasi. Disebabkan ia sebuah realitilah yang memberi kesan yang begitu positif dalam hidup saya sehinggakan penulisan karangan SPM saya mendapat markah tertinggi dan terpuji. Sengaja saya selitkan kata-kata tokoh yang dipetik dari halaman akhir novel bagi semua orang kenali indahnya peribadi tokoh sejarah Islam. Secara tidak langsung setelah pelajar lain diarah menyalin semula karangan saya, pahala ini dilimpahi pada penerbit dan penulis novel ini. Bermula disitulah sahabat dan guru mula memiliki banyak Novel Sejarah Islam. Pentingnya disini kami dapat merapatkan silaturrahim selain berkongsi.

Sekiranya ingin mengikut bahasa, semestinya tidak cukup disini untuk meluahkan rasa. Namun sedikit sebanyak tentang kebaikan dan pengajaran dari saya itu, sama-samalah kita contohi. Selagi kita punya daya, cuba-cubalah mendekatkan diri mengenali Allah dengan mengambil iktibar para ulama’ yang ada dicerita dalam novel ini. Tidak rugi kerana ianya sudah tersedia rapi cuma hati yang harus hadirkan diri untuk membacanya. Saya hanya seorang pelajar walau tidak mampu mengumpul wang memiliki kesemua novel tersebut, tetap juga saya cuba dapatkannya dari sahabat dan guru-guru sebelum membelinya sendiri. Secara tidak sengaja mereka merapatkan pehubungan dan persaudaraan yang menceriakan jiwa saya. Lagipun dalam memegang amanah sebagai Pengerusi Kelab Tarannum, ketua kelas, Pustakawan Sekolah dan Pengerusi Kelab Nasyid serta Setiausaha Unit Tugas Khas itu memang teruji namun Allah tidak terlupa mendidik saya dengan menghadirkan rasa cinta dan rindu untuk menemui para ulama’ di syurga sana agar diri saya dicintai Ilahi kelak. Setelah setahun belajar, walau saya mendapat sijil kelulusan, saya meredhai kegagalan satu matapelajaran Hadis Mustolah daripada 16 matapelajaran arab yang lain dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia membuatkan saya tergendala selama setahun bagi mengulang semula satu subjek untuk memasuki pengajian tinggi. Mengapa saya masih gembira dan bahagia? Kerana adanya novel sebaik ini.

SAUDARA SEPERJUANGAN, mohon aminkan doa saya :

“ Ya Allah, bantulah kami dalam segala urusan kami, selamatkanlah kami dalam segala ujian yang Kau beri, hindarkan kami dari mimpi yang tidak berguna, peliharalah kami dengan jalan yang Kau ingini. Ya Rahman Engkaulah Pengasih, Engkau juga Maha Menyayangi. Rezekiku, hidupku, matiku dan takdirku adalah ketentuanMu. Maka segalanya aku berharap kesempurnaan dariMu. Ya Allah, kau redhai dan kau rahmatilah Abdul Latip Talib serta keturunannya, kerana dari dia kami mendekatiMu. Sihat dan sejahterakanlah kepada kami demi menghidupkan agamaMu. Peliharalah syarikat PTS Litera Utama dari keruntuhan, kemusnahan dan gangguan Syaitan. Selagi ia berlandaskan Islam, maka Kau permudahkanlah segala urusannya. DemiMu ya Allah.. Satukanlah hati kami dan moga-moga kami ditempatkan di Syurga sana. Aminn…”